Thursday, December 2, 2010

Dewan Rakyat: Akta Pemajuan Perumahan Akan Dipinda Atasi Projek Terbengkalai

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi menangani projek perumahan terbengkalai di negara ini.
Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata pihaknya sedang dalam proses mengkaji pindaan agar peruntukan khusus diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek perumahan.
“Sungguhpun begitu, KPKT buat masa kini ini tetap melakukan penguatkuasaan dengan peruntukan sedia ada di bawah akta itu dengan kaedah seperti penyiasatan dan pemeriksaan atas laporan pemantauan projek, kompaun dan pendakwaan, senarai hitam pemaju dan pengarah syarikat,” katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.
Chor berkata beberapa langkah dilakukan bagi menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai termasuk melaksanakan pemantauan dan penyelarasan yang lebih rapi dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai.
Beliau berkata pasukan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan tiga kumpulan kerja itu menumpukan kepada penetapan dasar kemajuan perumahan negara, pemantapan pemulihan projek dan penguatkuasaan undang-undang.
Mengena projek perumahan terbengkalai, katanya perundingan dengan pihak berkepentingan dalam pemajuan perumahan sentiasa diadakan seperti pemaju perumahan, pembiaya, Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah (HBA) serta Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan (REDHA).
Sementara itu, sebanyak 161 projek dengan jumlah 50,614 unit rumah yang diisytiharkan terbengkalai dilaporkan sehingga Selasa lepas.
“Daripada jumlah tersebut, terdapat 5,573 unit (11 peratus) merupakan rumah kos rendah dan 8,687 unit (17 peratus) rumah kos sederhana,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang menangani masalah ini dan setakat ini sebanyak 51 projek itu dapat disiapkan, 58 dalam peringkat pemulihan dan bakinya masih lagi mencari kontraktor penyelamat.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment