Sunday, December 5, 2010

Bagaimana membuat pembelian hartanah terbaik

Pasaran hartanah di Malaysia  melalui tempoh proses peralilhan yang  sangat perlahan dan sikap berhati-hati di dalam pemilihan hartanah adalah sesuatu yang digalakkan.  Apakah waktu yang sesuai untuk membeli hartanah? Itulah persoalan dan delima pada  bakal-bakal pelabur sejak dari dulu lagi.
Pendek kata membeli hartanah bukan hanya “ambil, bayar dan bawa balik” seperti membeli pakaian di pasaraya. Perihal utama yang perlu diambil perhatian ialah khidmat ejen hartanah.
Sebagai pembeli anda mempunyai hak untuk memilih ejen hartanah yang bersesuaian . Ini kerana jika pembeli silap percaturan memilih ejen maka pembeli terdedah dengan risiko penipuan semasa pembelian asset tersebut. Sebagai contoh;  ada ejen-ejen tertentu mengambil wang pendahuluan pelanggan dan melarikan diri tanpa dikesan.
Menurut maklum balas dari sebuah badan kerajaan iaitu Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah  terdapat ratusan laporan dari orang ramai yang telah ditipu oleh ejen-ejen yang tidak bertauliah setiap tahun. Fungsi badan karajaan ini sebagai mengawal selia ejen-ejen hartanah di negara ini agar ia lebih professional didalam bidang tersebut.
Oleh itu, pelanggan sendiri harus bersedia dan perlu mengikis sikap acuh tak acuh dalam memilih khidmat perunding hartanah. Sekali lagi diingatkan, pemilihan ejen hartanah menjadi elemen penting di dalam proses urusan jual beli harta. Ia memudahkan jika dikendalikan oleh orang yang tepat.
Secara dasarnya, pelaburan hartanah merupakan suatu pelaburan jangka panjang dan melibatkan komitmen selama 20 tahun atau 30 tahun untuk pembiayaan bank. Sebagai pelabur anda harus cekap menghidu potensi pada hartanah yang hendak disewakan. Setelah memperolehi penyewa yang sesuai, secara tidak langsung penyewa tersebut telah membiayai ansuran bulanan peminjam dan pemilik tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar ansuran bank.
Apabila tempoh pembiayaan bank tamat tuan tanah tadi bakal memperolehi wang pencen yang lumayan pada hari persaraan kelak. Tidak dapat disangkal lagi, pembelian hartanah adalah satu instrument terbaik untuk mencipta kekayaan… inilah yang dikatakan “wang bekerja untuk anda bukan anda bekerja untuk wang”.
Sebagai contoh seseorang itu membeli sebuah rumah banglo berharga RM250,000.00 dan menjualkannya dalam lingkungan harga RM370,000.00,  setelah 15 tahun, secara kiraan kasar tuan tanah tadi bakal memperolehi keuntungan sebanyak RM120,000.00 sebagai pulangan risiko yang diambil pada pelaburan yang dilakukannya pada tempoh tersebut.

Dengan ini, Sebelum membuat sebarang percaturan memiliki hartanah, pembeli dinasihatkan untuk mempertimbangkan beberapa langkah dibawah:
1. Menaik taraf asset tersebut. Berapakah kos membaik pulih sesuatu bangunan tersebut? Perkara ini penting kerana membaik pulih atau menaik taraf asset melibatkan kos yang kasar dan jika tidak berhati-hati kemungkinan besar ia boleh melebihi kos pembelian asset. Jadi sebelum beli buat jangkaan kos baik-pulih.
2. Kedudukan ataupun lokasi asset. Adakah asset tersebut berada di bandar besar, pekan, kawasan kampong ataupun infrasturuktur berdekatan seperti perkhidmatan bas dan teksi bagi memudahkan urusan harian penghuni nanti.
3. Jenis hartanah juga perlu di ambil kira di dalam pemilihan tersebut. Sebagai contoh hartanah bertingkat seperti apartment, rumah teres ataupun rumah jenis banglo yang mana peratus peningkatan nilai hartanah tersebut amat berbeza walaupun berada dilokasi yang sama.
4. Pegangan, seperti pegangan bebas ataupun pegangan terhad. Dalam konteks ini, jelas menunjukkan pegangan bebas memperolehi pulangan yang lebih tinggi daripada pegangan terhad. Hartanah yang mempunyai geran pegangan bebas mendapat permintaan tinggi kerana ia mudah untuk diuruskan semasa proses jual beli dan urusan penama untuk tujuan wasiat sebagai harta pusaka suatu hari kelak. Jika anda membeli hartanah untuk tujuan sewaan, pegangan bebas atau tidak bukan halangan, tetapi selidiki dahulu potensi dan kadar sewa disana sebelum membuat komitmen.
Disini dapat kita pelajari bahawa pembelian hartanah bukan sesuatu perkara yang susah. Walaupun ia melibatkan kos-kos tertentu, dengan pemahaman dan persediaan yang cukup anda dapat mengelak dari membuat perhitungan yang salah dan memberi kesan psikologi sosial jangka panjang pada diri anda. Oleh itu bakal-bakal pembeli perlu bijak semasa membuat penilaian agar pemilikan hartanah menjadi mudah dan sempurna. Jika anda kurang pasti mintalah khidmat agen hartanah dan sila pastikan yang anda benar-benar serasi bersamanya agar keseluruhan proses jual beli hartanah nanti berjalan lancar. Sekian sahaja…
Semoga berjaya pelabur semua.

No comments:

Post a Comment