Monday, December 6, 2010

Alternatif Bayaran Pendahuluan Rumah Bhg-2

Pinjaman Peribadi (Personal Loan)
Walaupun kebanyakan pakej-pakej pinjaman persendirian mengenakan kadar faedah yang tinggi, iaitu lebih daripada 8% setahun, tetapi bagi mendapatkan wang dalam masa yang singkat, alternatif ini masih boleh diterima pakai.
Cuma perlu diingatkan sebelum membuat sebarang pinjaman peribadi, pendapatan dan tanggungan kita perlu disemak sama ada kita mampu atau tidak. Selain itu, pakej-pakej yang ditawarkan oleh bank-bank mestilah dikaji dengan teliti untuk memberi fleksibiliti kepada kita. Antara bank-bank yang menawarkan pakej yang agak menarik ialah Bank Rakyat dan Bank Islam.
Kedua-dua bank ini menawarkan pinjaman peribadi pada kadar faedah kurang dari 6% setahun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Berikut adalah contoh pakej pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh Bank Rakyat kepada kakitangan kerajaan dan ahli yang mempunyai syer Bank Rakyat:
Jumlah maksimum pinjaman : RM200,000
Jangka masa maksimum pinjaman: 20 tahun
Tahun 1 – 3         : 3.25%
Tahun  4 – 5        : 4.25%
Tahun  6 – 7        : 4.75%
Tahun  8 – 15     : 4.85%
Tahun  16 – 20    : 5.20%
Tetapi perlu diingatkan bahawa alternative ini amat sesuai dijadikan pilihan terakhir kerana kadar faedah untuk pinjaman peribadi agak tinggi.

Naikkan (Mark-up) Jumlah Pinjaman Perumahan
Kaedah ini boleh diguna pakai bagi membeli rumah siap (sub-sales property) dan rumah terbabit perlulah mempunyai harga pasaran (market value) yang tinggi.
Bagi mendapatkan 10% bayaran pendahuluan, bakal pembeli perlu berbincang dengan penjual rumah terbabit berkenaan pelan ini dan jika kedua-dua pihak bersetuju, harga rumah ‘dinaikkan’ sedikit di dalam S&P tetapi harga ini bergantung kepada harga nilai sebenar diperoleh daripada penilai (valuer) bertauliah. Sebagai contoh, jika sebuah rumah teres yang mempunyai nilai pasaran sekitar RM120,000 ingin dijual oleh pemiliknya secepat mungkin pada harga RM100,000, bakal pembeli mungkin boleh mark-up harga rumah itu semasa membuat pinjaman perumahan.
Ini bermakna, bank akan memberikan 90% pinjaman perumahan iaitu RM108,000. Dengan kaedah ini, bayaran pendahuluan seolah-olah telah dibayar oleh pihak bank terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, kaedah ini tertakluk kepada budi bicara di antara penjual dan pembeli.
Bagi kawasan perumahan yang baru dilancarkan oleh pemaju, biasanya, tawaran istimewa termasuklah diskaun akan diberikan kepada pembeli terawal (early bird). Sebagai contoh, diskaun sebanyak 7% diberikan kepada bumiputera dan 3% lagi mungkin merupakan diskaun istimewa kepada pembeli terawal. Walaupun tidak banyak,sekurang-kurangnya, diskaun ini akan mengurangkan beban pembeli untuk membayar wang pendahuluan.
Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk mengkaji dengan teliti pakej-pakej yang ditawarkan oleh pemaju kerana mungkin ada manfaatnya kepada kita.

Skim Istimewa dari Kerajaan
Seperti yang telah dibentangkan oleh kerajaan semasa Bajet 2011, satu skim khas telah disediakan oleh kerajaan untuk memberi kemudahan kepada pembeli memiliki rumah pertama. Skim ini akan membolehkan pembeli mendapat pinjaman 100% (tanpa bayaran pendahuluan 10%) bagi harga rumah kurang daripada RM 220,000. Melalui skim ini, beban bakal pembeli untuk menyediakan sejumlah wang pendahuluan dapat diringankan. Maklumat lanjut tentang skim yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional ini boleh diperolehi melalui cawangan-cawangan bank berkenaan.
Sebagai kesimpulannya, pelbagai alternatif boleh dirujuk untuk membolehkan kita memiliki rumah idaman. Tetapi, kemampuan diri perlu diukur terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

No comments:

Post a Comment