Sunday, November 7, 2010

Perbankan Persendirian Boleh Bantu Penggantian Dan Pindahan Harta Dengan Teratur

Isu penyerahan harta daripada satu generasi kepada generasi seterusnya menjadi lebih mustahak apabila lebih ramai usahawan yang mencerminkan “era kemakmuran” Malaysia mencapai tahap-tahap akhir hayat mereka, dengan demikian berdepan dengan cabaran sukar membuat keputusan menyerahkan kuasa dan harta kepada generasi seterusnya.
Memandang situasi ini, muncul perkhidmatan perbankan persendirian yang mengkhususkan dalam urusan harta — menjaga dan meningkatkan harta mereka, termasuk penggunaan pelbagai jenis instrumen bagi membantu melaksanakan pelan penggantian bagi pemindahan harta keluarga dengan teratur.
Perbankan persendirian adalah terma bagi perbankan, pelaburan dan perkhidmatan kewangan lain yang disediakan oleh bank-bank kepada individu persendirian yang melabur aset yang besar. Ia lebih daripada perkhidmatan perbankan tradisional seperti deposit dan pinjaman. Ia adalah mengenai menyediakan perkhidmatan bersemuka secara peribadi yang menjadi pilihan selepas seseorang memperoleh harta pada tahap tertentu.
Ketua Perbankan Persendirian CIMB, Carolyn Leng, berkata terdapat isu-isu serius yang perniagaan persendirian perlu selesaikan sekiranya “era kemakmuran” bakal berakhir dan isu itu adalah penggantian.
Dalam membincangkan mengenai pengurusan harta di Malaysia, beliau berkata kebanyakan perniagaan persendirian di negara ini adalah “bertumpukan kepada pengasas” dan dengan peredaran masa penyerahan perniagaan kepada generasi seterusnya boleh berdepan dengan kesukaran.
Leng berkata ini disebabkan hakikat bahawa pengasas telah menjalankan perniagaan secara sendirian tanpa bantuan dan pengganti tidak mengetahui banyak keputusan perniagaan sebelumnya kerana ia dijalankan dengan cara patriark (diperintah atau dikawal oleh lelaki sebagai ketua keluarga).
Pengasas juga keberatan untuk membicarakan mengenai penggantian dan apabila tiba masa bagi mereka untuk berundur, mereka cuba untuk berlaku adil kepada anak-anak mereka dengan memberikan bahagian perniagaan yang sama rata. Ini mengundang beberapa masalah. Perniagaan sekarang yang telah terbahagi, dengan entiti yang berbeza di tangan yang berbeza, tidak dijangka menikmati faedah sinergetik yang pernah diraih sebelumnya.
Walaupun banyak perniagaan telah mengambil langkah-langkah berjaga-jaga yang perlu bagi mengelak hakisan harta dengan menyenaraikan entiti mereka, terdapat banyak perniagaan persendirian yang terpaksa berdepan dengan isu meningkatkan harta.
Leng berkata jurubank persendirian boleh bertindak sebagai penimbang tara luar yang berhemat untuk mencetuskan perbincangan sensistif mengenai penggantian dan ini boleh diikuti dengan pilihan adik beradik yang sesuai bagi menjalankan perniagaan.
Menurutnya, perbankan persendirian boleh memberi faedah kepada perniagaan persendirian kerana pendekatan “pusat kewangan sehenti” menyediakan spektrum perkhidmatan pengurusan harta yang menangani masalah pewujudan, peningkatan, perlindungan dan pengagihan harta.
Beliau percaya kunci bagi kelangsungan hidup sesebuah perniagaan keluarga, adalah mewujudkan struktur pegangan keluarga dengan pelan penggantian.
Menggunakan amanah sebagai pegangan keluarga dapat memastikan keutuhan perniagaan dan harta dan diserahkan kepada generasi seterusnya dengan secara teratur selain melindungi daripada anggota keluarga yang mungkin kurang berkebolehan untuk menggantikan pengasas, kata Leng.
Orang Asia masih keberatan untuk membenarkan golongan profesional untuk mengendalikan perniagaan mereka tidak seperti orang Eropah, tetapi ia boleh menjadi penyelesaian untuk menjauhkan anggota keluarga daripada operasi harian kerana penyertaan mereka boleh membawa kepada pertikaian, katanya.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment