Friday, October 15, 2010

Pemaju Hartanah Main Peranan Penting Dalam Transformasi, Kata Menteri

Kerajaan menggesa agar sektor hartanah dan perumahan memainkan peranan penting untuk menjadikan industri itu lebih rancak dan lestari seiring dengan usaha negara melaksanakan transformasi penting ke arah menjadi sebuah ekonomi berpendapatan tinggi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Wira Chor Chee Heung berkata kedua-dua kerajaan dan pemaju perlu bekerjasama dalam mewujudkan sektor perumahan yang sihat dan mampan.

“Dalam konteks ini, industri perumahan juga perlu menyemak kembali dasar dan strategi sedia ada serta memperkenalkan amalan terbaik bagi meningkatkan kaualiti hidup rakyat,” kata beliau pada majlis Anugerah Kecemerlangan Hartanah The Edge 2010 di sini.

Cabaran penting yang dihadapi oleh industri perumahan ialah memadankan permintaan dan penawaran untuk kediaman mampu milik, meningkatkan kualiti rumah baru dan sedia ada dan memenuhi keperluan bagi persekitaran perumahan yang lestari, kata Chor.

Jumlah perumahan diperlukan disasar meningkat kepada 8,374,552 unit daripada 5,154,827 unit pada 2000, kata beliau sambil menambah ini memerlukan usaha bersama ke arah memenuhi permintaan, cabaran dan peluang kedua-dua sektor awam dan persendirian.

Sektor persendirian dilihat sebagai enjin pertumbuhan bagi menyediakan pembiayaan sehingga US$410 bilion menjelang 2020.

Menyentuh mengenai sektor perumahan dan pembinaan, terdapatnya permulaan yang ketara hasil daripada pelaburan besar ini, kata Chor.

Anugerah Kecemerlangan Hartanah The Edge ini terdiri daripada Anugerah Pemaju Hartanah Terbaik dan dua anugerah baru — Anugerah Kecemerlangan Pewujudan Nilai The Edge-PEPS dan Anugerah Kecemerlangan Hijau The Edge-PAM.

Antara 10 pemaju hartanah terkemuka pada tahun 2010 ialah Sunway City Bhd, Sunrise Bhd, SP Setia Bhd, Sime Darby Property Bhd, Mah Sing Group Bhd dan I&P Group Sdn Bhd.

– BERNAMA

No comments:

Post a Comment