Sunday, October 31, 2010

BNM Akan Kekang Gelembung Aset

Bank Negara Malaysia bakal mengambil tindakan awal untuk mengekang kenaikan aset atau harga secara mendadak. Malah BNM buat masa ini tidak merancang untuk menghadkan atau menyekat pembeli-pembeli hartanah tulen yang mengambil pinjaman gadai janji.

“Sekiranya berlaku risiko gelembung aset, sudah tentu kami akan mengambil langkah awal. kata Gabenor Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz yang dilapor oleh bernama.

“Kami tidak akan menunggu sehingga gelembung itu berlaku sebelum mengambil tindakan,” kata beliau kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi media mengenai “Prospek & Peluang Kewangan Islam” pada Forum Kewangan Islam Global yang berakhir di sini Khamis.

Berkemungkinan besar tumpuan akan diberi pada spekulator hartanah bagi mengelak aktiviti spekulasi dan sebarang langkah yang dilakukan oleh BNM tidak akan mempengaruhi pinjaman gadai janji bagi pembeli rumah pertama.

“Yang lebih pentingnya, kita mahu mengadakan langkah yang akan memberi tumpuan kepada kesedaran tentang kewangan, terutamanya di kalangan generasi muda di bawah 30 tahun kerana kami mahu mereka dalam kedudukan yang baik dalam menguruskan kewangan mereka apabila memiliki kereta atau rumah pada permulaan kerjaya mereka.

“Kami akan mempunyai program yang besar diperkenalkan bagi tujuan ini,” katanya.

No comments:

Post a Comment