Wednesday, March 9, 2011

Pelaburan Hartanah untuk Pendidikan Anak-anak – Bahagian 1

Apabila perkataan ‘pelaburan hartanah’ dibincangkan, kebanyakan orang akan melihat dari sudut pendapatan sewa (rental income) dan juga keuntungan hasil jualan hartanah selepas nilainya meningkat. Tidak dapat dinafikan bahawa memang itu cara yang selalu dipraktiskan oleh orang ramai apabila melabur didalam bidang hartanah.

Tetapi, bagi seseorang yang berpandangan jauh dan mengutamakan nilai-nilai kekeluargaan, pelaburan hartanah sebenarnya mampu memberi manfaat untuk kebaikan anak-anak pada jangka masa panjang. Banyak kaedah yang boleh diaplikasikan untuk kemudahan anak-anak kita.

Salah satu cara untuk menampung keperluan anak-anak kita ialah dengan menyewa hartanah tersebut selepas pembelian telah dilaksanakan. Hartanah tersebut tidak kira  sama ada apartment, rumah teres mahupun lot kedai (shoplot), Keuntungan daripada sewa terbabit boleh dijadikan wang untuk perbelanjaan anak-anak.

Perlu diingatkan bahawa kadar sewa bulanan akan naik dalam 3 hingga 5 tahun. Oleh yang demikian, untung bersih juga akan meningkat bersesuaian dengan keperluan dan kehendak anak-anak yang semakin meningkat.
Apabila anak kita ingin melanjutkan pelajaran di peringkat diploma atau ijazah,wang yang banyak diperlukan untuk menanggung perbelanjaan ini. Jika anak kita mendapat tajaan atau pinjaman kerajaan, beban kita dapat dikurangkan.

Tetapi, jika diperhatikan situasi pada masa kini, peluang untuk mendapatkan tajaan atau pinjaman kerajaan semakin sukar kerana persaingan yang lebih sengit, peningkatan jumlah pelajar yang layak memohon dan dana yang disediakan semakin berkurangan.

Jika tidak mendapat keistimewaan ini, bagaimana kita sebagai ibubapa perlu bertindak untuk mendapatkan sejumlah besar wang? Salah satu caranya ialah kita memohon kepada bank untuk ‘refinance’ hartanah terbabit supaya kita mendapat sejumlah wang yang besar bagi menjamin pendidikan anak-anak.
Perlu diingatkan bahawa hartanah tersebut akan meningkat harganya dalam jangka masa panjang.Selain itu, nilai hutang asal kita dengan bank semakin berkurangan kerana setiap bulan kita telah membayar ansuran bulanan.

Ikuti sambungan artikel ini dibawah, ketahui bagaimana anda boleh membiayai pendidikan anak-anak tanpa menjual hartanah anda.

No comments:

Post a Comment