Tuesday, February 1, 2011

Pertumbuhan Pinjaman Susut Apabila Peningkatan Jualan Hartanah Mungkin Perlahan Pada 2011

ECM Libra Investment Research menjangkakan pertumbuhan pinjaman akan berkurangan susulan unjuran pertumbuhan jualan hartanah yang mungkin perlahan pada lewat 2011.

Pinjaman untuk hartanah kediaman dan bukan kediaman yang menyumbang sebanyak 44 peratus daripada pertumbuhan pinjaman pada 2010 sudahpun menunjukkan pertumbuhan yang menyederhana, katanya dalam nota kajian pada Isnin.

Kelulusan pinjaman kediaman menyuncup 3.8 peratus tahun ke tahun pada Disember manakala kelulusan pinjaman bukan kediaman susut kepada 30.2 peratus daripada 47.3 peratus pada November.

“Pertumbuhan pinjaman juga terjejas berikutan peningkatan syarat rizab berkanun (SRR) yang akan dilaksanakan serta pelaksanaan langkah-langkah pinjaman makroprudential seperti yang digariskan oleh Bank Negara Malaysia dalam kenyataan dasar monetarinya yang terkini pada 27 Jan,” kata ECM Libra.

Dalam tempoh terdekat, ia berkata peningkatan pinjaman dijangkakan kekal kukuh memandangkan petunjuk pinjaman terus berada dalam wilayah positif dengan permohonan dan kelulusan pinjaman pada Disember 2010, meningkat masing-masing sebanyak 36.5 peratus dan 17.4 peratus tahun ke tahun.

“Ini bermakna jumlah pinjaman yang diluluskan menyuncup sebanyak 2.8 peratus tahun ke tahun pada Disember cent,” katanya. Pinjaman berkembang 12.8 peratus kepada RM883.6 bilion pada 2010.
Kedua-dua pertumbuhan pinjaman isi rumah dan peniagaan menyederhana pada Disember, masing-masing pada 13.4 peratus dan 12.1 peratus.

Nisbah pinjaman-deposit kekal tinggi pada 81.4 peratus dari 10 Nov pada 81.3 peratus, yang hampir dengan paras tertinggi tujuh tahun pada 81.7 peratus yang dicatat pada 10 Okt. “Ini hasil daripada peningkatan deposit pada 7.3 peratus berbanding pertumbuhan pinjaman sebanyak 12.8 peratus. Kami yakin kurangnya pertumbuhan pinjaman mungkin menyekat momentum pertumbuhan pinjaman untuk masa depan,” kata ECM Libra.

ECM Libra berkata ia mengekalkan saranan neutral ke atas sektor perbankan memandangkan pertumbuhan pinjaman semakin perlahan manakala margin faedah bersih kini mengalami tekanan untuk masa akan datang.
Sementara itu, OSK Research Sdn Bhd mengekalkan unjurannya bahawa pertumbuhan pinjaman bagi 2011 terus kukuh, dengan peningkatan kadar faedah dijangkakan tidak akan menjejaskan permintaan untuk memperoleh kredit berikutan pemulihan ekonomi.

“Permodalan sistem perbankan terus mencukupi, dengan modal wajaran risiko dan nisbah modal teras, msing-masing pada 14.6 peratus dan 12.8 peratus,” katanya.
– BERNAMA

No comments:

Post a Comment