Friday, January 14, 2011

Harga Siling Bagi Pinjaman Penuh Perumahan Kekal RM220,000

Kerajaan masih belum bercadang untuk menaikkan harga siling bagi rumah-rumah berharga daripada RM220,000 hingga RM350,000, yang tidak memerlukan bayaran pendahuluan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Chor Chee Heung.
Chor berkata beliau telah mencadangkan perkara itu kepada Kabinet Disember lepas tetapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bimbang jika harga siling itu dinaikkan, ia boleh menimbulkan lebih banyak masalah daripada manfaat kepada para pembeli dalam tempoh jangka panjang.
“Perdana Menteri merasa bahawa jika kita naikkan harga kepada RM350,000 para pembeli yang mempunyai skim gaji bagi jumlah itu (kurang daripada RM3,000) mungkin tidak dapat membayar balik dan ini boleh menyukarkan pembeli.
“Jadi, ia bukan masa yang baik bagi menaikkan had itu. Ianya masih pada RM220,000,” katanya kepada pemberita di sini ketika ditanya perkembangan cadangan itu.
Cadangan itu dibwa kepada perhatian Kabinet berikutan kebimbangan dan cadangan dari para pengguna bahawa skim pada masa ini tidak mencukupi.
Inisiatif di bawah Bajet 2011 itu adalah bagi menggalakkan pembeli rumah kali pertama dengan pendapatan isirumah kurang daripada RM3,000 untuk membeli rumah kurang daripada RM220,000, tanpa perlu membayar 10 peratus wang pendahuluan.
Skim itu dijangka berkuatkuasa dari 1 Jan tetapi sesetengah pembeli rumah mengadu bahawa ia tidak dilaksanakan lagi.
Chor juga meminta lebih ramai pemaju dan kontraktor di negara ini supaya mengguna pakai sistem penilaian kualiti yang diiktiraf antarabangsa seperti Sistem Penilaian Kualiti Pembinaan (Conquos) oleh Pihak Berkuasa Pembinaan Bangunan Singapura atau Sistem Penilaian Kualiti Malaysia dalam Pembinaan (Qlasssic).
– BERNAMA

Wednesday, January 12, 2011

Tiada Deposit Atau Deposit Tinggi Mana Lebih Baik Apabila Membeli Rumah

Pelaburan adalah satu kaedah untuk kita mengurus kewangan agar dapat ia digunakan pada kemudian hari.
Walau sehebat manapun bentuk pelaburan yang kita rancang, hakikatnya ia bakal menuntun kos tambahan dari pendapatan hakiki kita hari ini. Dengan pelaburan anda boleh mencipta hutang yang berganda atau anda boleh menyelesaikan hutang dengan cara yang terancang.

Soalan 1 : Bagaimana saya boleh melabur didalam hartanah jika saya adalah seorang yang “blacklist”? Dan saya memunyai pendapatan tetap.
Mungkin masih ramai yang tidak arif akan konsep pelaburan, dan saya akan menghuraikan sedikit penjelasan dari soalan seorang pembaca Drumah.com beberapa hari lepas. Seperti apa yang saya katakan diatas, Pelaburan boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, tetapi bukan semua bentuk pelaburan. Jika anda mempunyai hutang sehingga anda di istihar sebagai insudividu yang di senarai hitam, malah lagi teruk muflis oleh pihak bank tiada penyelesaikan singkat untuk anda melainkan anda meyelesaikan maslaah itu dahulu. Tetapi peluang pelaburan yang lain masih banyak untuk anda teroka dan mungkin tidak membebankan kewangan anda sekarang, setelah bersedia, barulah anda mula berjinak-jinak dengan pelaburan hartanah.
Walaupun ada beberapa kaedah “loophole’ pada sistem perbankan kita yang memungkinkan individu yang di senarai hitam atau muflis untuk membeli hartanah ia tetap menuntut kos yang tinggi, malah ia sama sahaja dari kaedah atau cara peminjam lain lakukan. Sebaik-baiknya nasihat saya anda cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan hutang ini agar ia tidak menjadi bebankan dikemudian hari.
Ramai yang tahu pelaburan hartanah adalah satu kaedah pelaburan yang kukuh dan menguntungkan. Tetapi manakah lebih baik, tiada deposit atau deposit tinggi semasa membeli rumah?
Membeli hartanah dengan cara mendesak kewangan anda adalah satu pekara yang perlu dielakkan. Setiap keputusan membeli hartanah haruslah dibuat melalui pengurusan kewanan berhemah. Anda saharusnya membuat tabungan yang mencukupi dan mengurangkan tempoh bayaran ansuran (tahun bayaran). Tahap skor kredit anda akan berkurangan pada penilaian pihak bank jika kewangan anda pada paras sedarhana. setiap pemilik rumah perlu menyediakan wang tabungan tambahan untuk kos-kos baik pulih rumah nanti.
Jangan bergantung pada gaji hakiki untuk perbelanjaan kecemasan. Pastikan apabila anda membuat penilaian hartanah yang ingin dibeli ia haruslah pada perbelanjaan yang anda mampu dan jangan berbelanja lebih dari apa yang anda tidak perlu.
Mungkin ada dari pembaca yang memperolehi pinjaman 100% dari pihak pembiaya, ia mungkin satu kelebihan pada jangka masa singkat. Malah ada juga pihak pembiaya hari ini menawarkan pinjaman sehingga 40 tahun hingga 45 tahun. Walaupun anda mempunyai kelebihan ini, ia sebenarnya adalah sau komitmen yang membebankan kewangan. Sebaik-baiknya pembiayaan hartanah anda harus berada pada jangka masa 20 tahun atau sekurang-kurangnya 25 tahun. Ini bagi megelakkan pembayaran faedah pinjaman yang berlebihan yang sebenarnya anda boleh elakkan.

Soalan 2 : jika pinjaman rumah 20-25 tahun, saya nak makan apa? Kalau tunggu-tungu lagi mungkin saya tidak akan beli rumah sampai bilai-bila
Dari apa yang saya katakan tadi, pembelian rumah harus dengan deposit tinggi dan tempoh pinjaman harus diminimakan. Ini bagi menjimatkan faedah bank yang anda akan bayar secara berkala.
Jika anda seorang yang memahami kaedah pembayaran dan formula faedah pinjaman pasti anda mula memikirkan kaedah yang terbaik bagi meminima pembayaran balik seperti apa yang saya katakan.

Sunday, January 9, 2011

Apa Yang Anda Perlu Tahu Tentang Perjanjian Sewa Rumah

Percaya atau tidak, persoalan seperti ini sebenarnya agak normal dalam kehidupan seharian kita terutamanya apabila kita menjadi penyewa atau tuan rumah terbabit. Senario yang berlaku mungkin akan menjadi lebih teruk lagi jika kedua-dua pihak iaitu penyewa dan tuan rumah tidak sedar tentang hak masing-masing. Tetapi, hak dan nasib kedua-dua pihak akan terbela dan lebih terjamin jika Perjanjian Penyewaan Rumah (Tenancy Agreement) berjaya disediakan, dipersetujui dan ditandatangani oleh kedua-dua pihak.

Apakah itu Perjanjian Penyewaan Rumah?  Perjanjian ini merupakan satu dokumen yang menggariskan hak-hak dan tanggungjawab penyewa serta tuan rumah. Biasanya, perjanjian ini ditandangani sebelum penyewa menduduki rumah tersebut. Jangka masa untuk perjanjian ini ialah bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak; iaitu sama ada setahun, 2 tahun ataupun 5 tahun.
Apa yang anda perlu tahu tentang Perjanjian Penyewaan Rumah:
•    Perjanjian ini perlulah senang difahami oleh kedua-dua pihak. Walaubagaimanapun, pihak penyewa dan tuan rumah perlu memahami isi kandungan perjanjian ini dengan terperinci supaya hak masing-masing dapat ditegakkan jika berlaku perselisihan faham (dispute). Kadang-kadang, perjanjian ini disediakan oleh pihak ketiga iaitu peguam atau agen hartanah namun persetujuan haruslah dicapai oleh bakal penyewa dan tuan rumah sebelum ditandatangani. Tuan rumah juga boleh menyediakan sendiri perjanjian ini berdasarkan sampel dokumen yang disediakan di bawah.
•    Perjanjian ini perlu menyatakan sewa bulanan yang perlu dibayar oleh penyewa. Bayaran untuk sewa bulanan akan ditetapkan pada tarikh tertentu (contohnya 1hb bagi setiap bulan) untuk memudahkan tuan rumah memantau kelewatan pembayaran. Akaun untuk pembayaran juga dinyatakan dalam Perjanjian Penyewaan untuk rujukan dan memudahkan kedua-dua pihak..
•    Selain itu, deposit untuk menyewa rumah juga (biasanya, bayaran sewa untuk 2 bulan dan utiliti) akan dinyatakan untuk menjaga hak tuan rumah sekiranya penyewa‘melarikan diri’ atau merosakkan harta benda di dalam rumah terbabit. Wang deposit ini akan dipulangkan kembali kepada penyewa apabila tempoh penyewaan sudah berakhir dan rumah ini ditinggalkan dalam keadaan baik dan terjaga.
•    Senarai inventori barang-barang yang disediakan di dalam rumah terbabit seperti kipas, lampu, sofa, peti ais, katil dan televisyen akan turut dilampirkan bersama-sama dengan Perjanjian Penyewaan sebagai senarai semak untuk kedua-dua pihak. Jika berlaku kerosakan kepada barang-barang terbabit (dalam kes ini, penyewa yang merosakkan secara sengaja), tuan rumah berhak meminta ganti rugi. Walaubagaimanapun, terpulang kepada budi bicara tuan rumah kerana mungkin barang-barang itu sudah lama digunakan dan kerosakan tidak dapat dielakkan.
•    Pembaikpulihan bagi kerosakan di dalam rumah perlu dinyatakan dengan jelas dalam Perjanjian Penyewaan. Biasanya, kerosakan kecil (minor damage) akan dibayar terlebih dahulu oleh penyewa kemudian diberitahu kepada tuan rumah untuk pengurangan bayaran sewa pada bulan itu. Bagi kerosakan besar (major damage), tuan rumah perlu mengambil tindakan sewajarnya seperti meminta kontraktor untuk membaik pulih kerosakan terbabit secepat mungkin. Contoh kerosakan kecil ialah pili air tersumbat dan kerosakan besar mungkin atap bocor atau lantai pecah.
•    Akhir sekali, selepas perjanjian ini dipersetujui dan ditandatangani kedua-dua pihak, ‘stamping’ perlu dibuat di Jabatan Hasil supaya dokumen ini dikira sah disisi undang-undang. Jika tidak, sebarang masalah yang berlaku tidak dapat diselesaikan di mahkamah dan seterusnya boleh mengakibatkan ketidakadilan kepada penyewa ataupun tuan rumah.. Bayaran untuk “stamping’ biasanya dikenakan kepada penyewa. Bagi tuan rumah, dokumen ini boleh dijadikan sumber pendapatan tambahan (extra income) jika ingin memohon pinjaman daripada bank.

Oleh yang demikian, penyewa dan tuan rumah perlu menyedari hak masing-masing dan hak ini perlu dinyatakan dengan jelas dalam perjanjian ini. Ketiadaan dokumen ini mungkin akan menjadi kesilapan besar kepada penyewa dan juga tuan rumah terbabit jika berlakunya sesuatu masalah.
Bagi pelabur hartanah pula, dokumen ini perlu dipandang serius kerana dokumen ini seolah-olah memberi jaminan pada hartanah yang disewakan tersebut.

Tuesday, December 21, 2010

Pasaran Hartanah Malaysia Dijangka Berkembang Pada Tahun Depan

Pasaran hartanah akan terus berkembang pada tahun depan kerana tiada jangkaan kemunculan gelembong, kata perunding hartanah.

Mereka berkata minat belian yang kukuh dijangka diperolehi daripada pembeli asing dan banyak transaksi kediaman dijangka dilihat di kawasan bandar.

Pertumbuhan ekonomi positif di pasaran tempatan di tengah-tengah tinjauan ekonomi yang suram di Eropah dan AS akan turut melonjakkan pasaran, kata mereka.

Gelembong hartanah adalah satu tempoh peningkatan pantas di dalam penilaian harga perumahan atau hartanah sehingga ia mencapai paras yang tidak mampan dan diikuti oleh pengurangan harga.

Pengerusi Eksekutif Rahim & Co Chartered Surveyors Sdn Bhd Datuk Abdul Rahim Rahman berkata ini terbukti daripada peningkatan bilangan transaksi kediaman di Lembah Klang, Johor dan Pulau Pinang.
“Antara separuh pertama 2009 dan separuh pertama 2010, transaksi kediaman di kawasan berkenaan masing-masing meningkat 11 peratus, 47 peratus dan 7.0 peratus.

“Corak itu dijangka berterus pada tahun depan apabila ekonomi Malaysia bertambah baik,” kata Rahim kepada Bernama.

Rahim berkata harga hartanah kediaman terpilih di kawasan panas telah meningkat antara 20 dan 50 peratus sejak tiga tahun lepas.

Bagaimana pun, katanya kenaikan harga yang mendadak itu hanya dilihat di kawasan tertentu di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor dan bagi projek khusus yang mendapat permintaan ramai.

Dengan pemantauan rapi keadaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), bank-bank kini melakukan penilaian di segi nisbah pinjaman kepada nilai (LTV) bagi mengelakkan berlakunya pinjaman tidak berbayar (NPL).
Pada November, BNM telah mengenakan had LTV 70 peratus bagi pembelian hartanah ke-tiga bagi mengekang pelaburan dan spekulasi berlebihan.

“Langkah itu dijangka menyerderhanakan pelaburan dan spekulasi yang berlebihan, yang menghasilkan peningkatan harga yang lebih tinggi daripada sederhana di kawasan perbandaran tertentu,” kata Rahim.
Menurutnya, sambil langkah itu tidak akan menghentikan harga daripada meningkat, ia sekurang-kurang mengurangkannya.

Rahim berkata bagi mengekang pembelian spekulatif ke atas hartanah, negara-negara seperti China, Hong Kong dan Singapura telah melaksanakan nisbah pendahulan yang secara progresifnya lebih tinggi bagi para pembeli yang memiliki lebih daripada satu hartanah.

Pengarah Ho Chin Soon Research Ho Chin Soon mencadangkan dikenakan cukai keuntungan hartanah 30 peratus, diikuti oleh skala yang menurun hingga 5.0 peratus dan kemudiannya sifar peratus selepas lima tahun.
“Peraturan baharu itu dilihat tidak cukup untuk mengekang peningkatan harga hartanah.

“Lihatlah terhadap gelembong kecil sebaik sebelum berlaku krisis kewangan Asia. Ia memakan masa kira-kira tiga tahun bagi pembentukan gelembong kecil.

“Sehingga ini, kami telah melihat trend harga hartanah yang menaik bagi tempoh satu setengah tahun dan dengan itu, masih ada sekurang-kurangnya setahun lagi bagi melihat peningkatan harga,” katanya.
Kerajaan juga telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi sektor hartanah semasa pembentangan Bajet 2011.

Sesetengah langkah itu, yang disifatkan mempunyai kesan positif terhadap pasaran, yang termasuk duti pengecualian setem 50 peratus bagi pembeli rumah pertama kali bagi membiayai pembelian rumah tidak melebihi RM350,000 dan 100 peratus pinjaman bagi membeli satu rumah bernilai di bawah RM220,000.

Rahim berkata pengecualian duti setem bagi pembeli pertama kali, sememangnya akan memberikan mereka opsyen untuk membeli rumah, terutama rumah yang mempunyai tanah kerana kebanyakannya kini berharga di atas RM250,000.

Katanya pinjaman 100 peratus untuk membeli satu rumah bernilai kurang RM220,000 akan memberikan peluang kepada lebih ramai pembeli rumah yang muda, terutama sekali mereka yang baharu bekerja untuk memiliki satu rumah.

“Kedua-dua inisiatif itu akan merangsang permintaan mendapatkan rumah di kawasan bandar serta di lokasi di luar kawasan perbandaran,” katanya.

Bagaimana pun, Ho berkata Bajet 2011 hanya mempunyai kesan minimum ke atas keputusan hartanah kerana kebanyakan rumah di Lembah Klang bernilai di atas RM350,000.

Pengumuman utama yang lain pada tahun ini termasuk projek Transit Pantas Massa (MRT) dalam Kuala Lumpur dan cadangan menara Warisan Merdeka 100 tingkat di Kuala Lumpur, katanya.
Katanya kajian mengenai sistem pengangkutan massa menunjukkan nilai dan sewaan kemungkinan mencecah 25 peratus lebih tinggi jika sesuatu bangunan terletak berdekatan stesen MRT, yang menunjukkan kejayaan pembinaan stesen itu serta mudah diakses.

Rahim berkata satu kajian pasaran penuh dan kemungkinan perlu dilakukan bagi menentukan jika menara Warisan Merdeka berdaya maju di segi komersil dan pembiayaan berikutan lebnihan kapasiti di segi ruang komersil di Lembah Klang.
oleh: Oleh Christine Lim
– BERNAMA

Friday, December 17, 2010

Undang-undang pemilikan hartanah kita terlonggar di dunia

KUALA LUMPUR 16 Dis. – Undang-undang pemilikan hartanah di Malaysia adalah paling longgar di dunia dan keadaan ini menarik kehadiran pelabur asing sehingga menjejaskan peluang rakyat negara ini.

Persaingan itu menyebabkan nilai sektor berkenaan melambung mencecah paras terlalu tinggi dan berada di luar kemampuan mereka, kata Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Penilai, Pengurus Harta, Ejen Harta dan Perunding Harta Swasta Malaysia (PEPS), Y. H. Ooi.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Knight Frank, berkata, nisbah permintaan hartanah antara rakyat tempatan dan asing pada tahun ini adalah 70:30 dan berdasarkan perkiraan semasa, jumlah penguasaan rakyat asing akan meningkat tahun hadapan.

Menurutnya, walaupun peningkatan nilai hartanah membantu meningkatkan ekonomi negara tetapi ia juga memberikan impak negatif kepada rakyat sekiranya tiada kawalan.

Ooi mendakwa, tiada sebarang had dikenakan kepada para pelabur asing dari segi pemilikan jumlah aset dan lokasi sekiranya ingin memiliki hartanah di Malaysia.

Beliau menjelaskan beberapa negara seperti Australia dan Singapura mempunyai undang-undang ketat terhadap pemilikan hartanah di kalangan pelabur asing.

“Antaranya had bilangan aset, hanya boleh membeli aset yang sedang atau belum dibina dan pelbagai lagi bagi melindungi kepentingan rakyat tempatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini sempena Sidang Kemuncak Hartanah Malaysia 2011 yang akan diadakan pada 18 Januari depan.

Turut hadir bekas Ketua Pengarah Penilaian, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Mani Usilappan yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif PEPS dan Presiden PEPS, Choy Yue Kwong.

Ooi berkata, faktor persaingan ini menyebabkan nilai hartanah di kawasan bandar melonjak tinggi dan langsung tidak mampu dimiliki oleh rakyat berpendapatan sederhana serta ke bawah.

“Kita tidak mampu menandingi kuasa beli pelabur asing dan akhirnya hanya mampu melihat aset strategik dimiliki orang luar. Sesuatu perlu diambil untuk menilai semula masalah ini,” kata beliau.

Ooi menambah, pelabur asing yang banyak memiliki aset di Malaysia adalah dari Singapura, Hong Kong, Indonesia, Eropah dan rantau Asia Tengah.

Lokasi yang menarik perhatian mereka adalah Kuala Lumpur dan sekitar Lembah Klang atas faktor infrastruktur dan kemudahan yang serba lengkap.

Mani pula menjelaskan, sekiranya keadaan itu berterusan, mungkin akan timbul persoalan sama ada industri hartanah tempatan dibina untuk rakyat atau pelabur asing.

Sementara itu, Yue Kwong berkata, nilai hartanah di Asia termasuk Malaysia dijangka terus meningkat pada tahun depan berikutan pertumbuhan ekonominya yang positif meskipun berlaku kemerosotan di Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Katanya, keadaan ekonomi luar yang tidak menggalakkan akan menyaksikan dana pelaburan khususnya sektor hartanah bakal beralih ke Asia dan Malaysia turut mendapat faedahnya berdasarkan kemudahan infrastruktur sedia ada.

Beliau berkata, permintaan tinggi dalam sektor hartanah tempatan akan meningkatkan kadar kecairan pasaran dan nilai hartanah khususnya di Kuala Lumpur.

“Peningkatan nilai hartanah pada tahun depan mungkin tidak setinggi tahun ini yang mencatat peningkatan 30 peratus kerana pertumbuhan ekonomi negara dijangka perlahan,” jelasnya.

Di petik dari Utusan 17.12.2010

Friday, December 10, 2010

8 Skil untuk menjual sebagai seorang profesional – bahagian 1

Definasi menjual ialah secara profesional menolong orang lain untuk membuat keputusan membeli. 8 skil utama yang boleh dikongsi bersama iaitu:-

1) Membina Hubungan
Perlu diingat bahawa prospek/pembeli hanya akan membeli melalui orang yang mereka suka dan percayai. Untuk membina kepercayaan pembeli anda mesti berkomunikasi dengan baik melalui perkataan dan suara yang jelas beserta gerak badan yang menarik perhatian. Prospek perlu diberi penerangan yang jelas melalui gambar-gambar,carta,jadual dan sebagainya. Lebih baik lagi prospek boleh melihat dan mencuba produk tersebut, contohnya seperti membeli kereta, prospek biasanya akan “test drive” supaya dapat mencuba dahulu sebelum membeli.
Antara lain anda juga perlu memahami kehendak dan minat prospek supaya komunikasi lebih lancar. Penjual juga perlu arif tentang produk supaya pembeli mendapat maklumat penuh dan lebih yakin terhadap anda. Disamping itu jangan pula terlalu serius bersama pembeli, mestilah disertakan lawak jenaka dalam komunikasi supaya lebih mesra. Cuba juga bertanyakan soalan-soalan yang mudah mengenai latar belakang prospek.

2) Bertanyakan Prospek
Apabila anda lebih banyak mendengar daripada bercakap produk anda akan terjual dengan sendirinya, menarik kan? Bagaimanakah ianya berlaku? Ianya mudah sekali apabila soalan-soalan yang diajukan kepada prospek kita boleh memahami keperluan dan masalah pembeli seterusnya kita yang akan menyelesaikan masalah tersebut. Soalan-soalan seperti siapa?Bila?Apakah?Dimanakah?Kenapakah?Bagaimanakah? akan membongkar maklumat prospek. Maklumat tersebut boleh digunakan sebagai panduan untuk anda memberi cadangan(proposal) produk anda yang tepat kepada prospek. Tren terkini untuk menjual produk adalah lebih kepada membina hubungan bersama prospek dan follow-up, jualan akan datang secara automatik.

3) Membina “value”/nilai
Apakah kelebihan produk anda berbanding produk-produk yang lain? Contohnya apakah perbezaan air mineral A&B? Kedua-duanya melalui proses yang sama, tetapi apabila A menerangkan kepada prospek proses-proses yang kompleks tersebut, prospek akan lebih yakin terhadap air mineral A berbanding B, sebenarnya prospek anda tidak tahu apakah yang membuatkan produk anda bernilai, anda perlu menerangkannya sebaik mungkin. Sekolahkan prospek anda supaya mendapat maklumat bagaimanakah produk anda dihasilkan. Ceritakan kisah-kisah menarik keajaiban produk anda mengubah hidup seseorang. Antara tip-tip yang berguna ialah jangan bertanya kepada prospek seperti “boleh saya tolong?” kerana jawapan yang anda dapat mungkin “tidak apa” atau “terima kasih”. Tetapi anda boleh kenalkan diri anda, aplikasikan skil 1&2 dan terus menerangkan kepada prospek produk anda
Skil seterusnya,,, akan bersambung pada bahagian 2 dibawah

8 Skil menjual sebagai seorang profesional – bahagian 2

Episod sebelum ini anda telah mengetahui bagaimana untuk membina hubungan dengan prospek,mengenali prospek dan menerangkan nilai-nilai kualiti produk. Langkah seterusnya skil yang perlu diaplikasikan iaitu,

4) Menyemarakan Keinginan
Beberapa perkara anda boleh lakukan untuk menyemarakkan keinginan prospek seperti memberi gambaran yang indah supaya prospek dapat membayangkan kehebatan produk anda. Contohnya agen jualan pakej percutian yang bagus dapat memberi gambaran-gambaran lokasi yang indah seperti pantai yang putih dan bersih, air yang jernih seperti kaca, dasar laut yang boleh dilihat daripada permukaan air dan ikan baracuda(sejenis ikan di laut dalam) bermain di gigian jeti. Prospek anda akan teruja dengan gambaran tersebut. Jangan terkejut prospek yang teruja akan membuat keputusan mendapatkan produk anda dengan serta merta.
Selain itu data-data, statistik yang menarik daripada majalah, surat khabar, internet juga boleh digunakan. Dalam persembahan anda gunakan perkataan-perkataan seperti ‘MENAKJUBKAN’, ‘DIJAMIN’, ‘SUPERB’, ‘HOT’, ‘POPULAR’,'MENARIK’ dan sebagainya boleh meningkatkan keinginan prospek. Tetapi perlu diingat intonasi suara perlu bersemangat ketika anda menyebut perkataan ini, jika tidak mesej tidak akan sampai kepada prospek anda.Dapatkan testimoni daripada pembeli terdahulu untuk dijadikan rujukan kepada prospek anda supaya lebih yakin kepada tahap profesional anda.

5) Mengendalikan Komen/Alasan/Bantahan
Alasan tipikal prospek akan berikan hanyalah empat perkara iaitu tidak ada duit, tidak ada masa, tidak memerlukan dan tidak ada keinginan/berminat. Disebabkan perkara-perkara di atas kita perlu mengasingkan sebab-sebab yang menyebabkan prospek tidak membeli produk anda.Anda perlu bertanyakan prospek,,
‘Selain dari sebab yang En_____ nyatakan adakah sebab-sebab lain?’
‘Jika sebab/masalah dapat diselesaikan adakah En____ akan teruskan untuk membeli?’
Jika jawapannya TIDAK,,
‘Mesti ada sebab-sebab lain,bolehkah saya tahu apakah masalah tersebut?’
Jika jawapanya YA,,
‘Mari kita luangkan masa untuk mencari jalan menyelesaikan sebab tersebut’
Sebaiknya anda memahami,merasai dan menemui sebab-sebab/ masalah prospek supaya dapat memberikan jalan penyelesaian.
Tanyakan prospek ‘Adakah berbaloi jika En(prospek) tidak membeli produk ini dan apakah kerugian-kerugian jika En(prospek) tidak memiliki produk ini?’ Akhir sekali jangan menganggap bantahan/alasan/komen sebagai unsur yang negatif. Sebenarnya itu adalah respon kepada perkara yang diambil berat oleh pembeli.

6) Mengambil/meminta Bayaran
Sangat merugikan jika anda telah mengaplikasikan skil-skil 1-5 tetapi jika anda lemah dalam skil untuk meminta bayaran semuanya menjadi sia-sia. Jangan sekali-kali sarankan kepada prospek untuk balik berfikir. Anda perlu sematkan dalam diri anda bahawa anda 100% bertanggungjawab terhadap pertolongan yang anda berikan kepada prospek untuk membuat keputusan membeli. Jangan hanya mengagak keputusan prospek, kitalah yang memberi cadangan atas keputusan mereka.
Tanyakan prospek,,
‘Siapakah selain anda yang terlibat untuk membuat keputusan ini?’
Jika orang yang terlibat tidak ada pada masa itu cuba sebaik mungkin dapatkan bayaran sebagai tempahan dengan jaminan bayaran dikembalikan jika tidak mendapat persetujuan bersama. Pada masa ini anda boleh bertanya soalan-soalan yang lebih mendalam/detail seperti tempoh bayaran ansuran bulanan, nilai interes dan lain-lain.
Selamat mencuba skil-skil ini dan praktikan setiap hari. Pada mulanya mungkin anda akan merasa kekok dan janggal. Tetapi lama-kelamaan anda akan mahir dan skil anda terus akan meningkat dari hari ke hari. Episod terakhir akan menyusul untuk 2 lagi skil utama menjual sebagai seorang profesional…