Friday, August 27, 2010

13 perkara yang anda perlu tahu semasa melawat hartanah utk dibeli

Semasa mencari hartanah yang sesuai pasti anda tertanya-tanya apakah tawaran harga ini berbaloi dengan keadaan fizikal hartanah? Bagaimana melawat hartanah dengan cara yang betul?

Disini saya sediakan beberapa langkah yang perlu anda tahu semasa melawat hartanah nanti;

1. Taman depan dan belakang

* Bagaimana keadaan dinding taman?
* Adakah ia perlu kerja pembaikan ?
* Adakah banyak sampah di belakang?
* Apakah anda perlu landskap di taman?

2. Kawasan luar rumah

* Adakah anda dapat melihat keretakan serius pada batu bata ?
* Apakah ada keretakan di sekitar pintu dan tingkap?
* Apakah ada keretakan berhampiran dengan tanah?
* Adakah dinding kelihatan lurus?

3. Diding didalam dan luar rumah

* Adakah terlihat dinding yang retak atau kawasan yang rosak dari kerja plaster?
* Apakah ada keretakan di sekitar pintu dan tingkap?
* Apakah ada keretakan berhampiran dengan tanah?
* Bagaimana keadaan fizikal dinding?
* Apakah ada tanda-tanda basah?
* Adakah dinding kelihatan lurus?

4. Tingkap dan pintu

* Material apakah tetingkap itu dibina?
* Material apakah pintu itu dibina?
* Adakah material tersebut mempunyai kualiti jenama dan pengiktirafan ISO ?
* Bagaimana keadaan dari rangka dan kaca-kaca tingkap adakah ia masih didalam keadaan baik?

5. Bumbung

* Apakah Kondisi bumbung rumah tersebut?
* Adakah ia mempunyai karat didalam siling yang menunjukkan kebocoran?
* Apakah kondisi siling rumah itu, adakah anda berpuas hati dengannya?
* Bolehkah anda mengakses ke ruang loteng untuk mencari ruang bocor (cahaya matahari) melalui bumbung?
* Apakah perlu pembaikan dari masalah diatas?

6. Lantai

* Lantai rumah ini diperbuat dari apa?
* Apakah ada kerosakan dari lantai?
* Berapakah jubin yang pecah?
* Berapakah jubin yang retak?
* Adakah anda mahu membaik pulih lantai ini atau menukarnya?

7. Pendawaian Elektrik

* Berapakah usia alatan elektrik disini?
* Apakah ada sijil-sijil pengiktirafan pada setiap alatan elektrik disini?
* Bagaimanakah keadaan kabel elektrik, lampu dan soket?
* Adakah papan litar perlu digantikan?
* Adakah rumah ini mempunyai Pendawaian 1 fasa – Untuk voltan rendah atau pendawaian 3 fasa – untuk voltan rendah hingga 60A

8. Paip Gas (Jika Ada)

* Apakah kondisi paip gas ?
* Adakah penggunaan paip gas tersebut mempunyai sijil-sijil keselamatan?

9. Bilik mandi

* Bagaimana keadaan bilik mandi?
* Bagaimana keadaan paip saluran air?
* Apakah ada kebocoran air?

10. Dapur

* Bagaimana keadaan dapur?
* Adakah unit dapur ini memerlukan pembaikan atau penggantian?
* Adakah posisi kabinet dapur sesuai dengan keselesaan anda?

11. Penghawa Dingin

* Bagaimana keadaan penghawa dingin?
* Telah berapa lama penghawa dingin ini digunakan?
* Adakah apa-apa kerosakan ?
* Adakah penghawa dingin ini memerlukan penyelenggaraan?

12. Pembentungan & perparitan

* Bagaimana keadaan saluran sisa air?

13. Secara umum

* Adakah rumah ini memerlukan anda melakukan pemodenan?
* Adakah rumah ini perlu lukisan atau kertas dinding?
* Adakah rumah ini perlu seri lantai baru seperti karpet atau lantai laminasi?
* Apakah susun atur rumah ini sesuai dengan anda dan keluarga anda ?
* Adakah ada beberapa pengubahsuaian diperlukan ?
* Adakah dinding dalaman perlu di robohkan atau perlu dibahagikan dan bina dinding-dinding tertentu?
* Akhir sekali berapakah kos penyelenggaraan dan pengubahsuaian yang diperlukan untuk haranah ini?

Beberapa soalan diatas dapat memberi gambaran umum tentang bagaimana penilai hartanah profesional menafsir nilai pada sebuah hartanah untuk pelanggannya. Dengan bantuan soalan-soalan diatas kini anda juga boleh menilai hartanah sasaran dari kaca mata pembeli.

Nasihat saya, semasa anda menerima tawaran harga dari tuan rumah atau agen hartanah ketahui dahulu adakah mana-mana bahagian dalaman dan binaan yang tidak disertakan sekali didalam pakej pembelian agar ia tidak menjadi masalah dikemudian hari.

PELABURAN HARTANAH vs PRODUK KEWANGAN

Mungkin ada yang pernah mendengar kisah pelaburan hartanah adalah satu instrumen pelaburan yang paling menguntungkan berbanding pelaburan yang lain. Mereka juga mengatakan setiap seorang dari 5 orang jutawan adalah pelabur yang bergiat aktif di dalam industri ini.

Tetapi tahukah anda mengapa mereka boleh menjadi jutawan dengan hartanah. Apakah rahsia seseorang itu boleh kaya raya dengan memiliki hartanah. Mari kita pelajari konsep asas pelaburan hartanah dan bagaimana mengira potfolio hartanah berbanding dengan instrumen pelaburan yang lain.

Apabila kita membuat kaji selidik potensi sesuatu hartanah, ada lebih baik kita membandingkan potfolio hadapan ini dengan mana-mana pelaburan kewangan yang dirasai mempunyai rekod keuntungan yang hampir sama. Jadi hari ini saya membandingkan potfolio hartanah sasaran saya dengan pelaburan didalam Amanah Saham Bumiputra (ASB) sebagai produk kewangan bandingan.

Bagi memudahkan pengiraan, saya memilih pelaburan hartanah dan produk kewangan yang mempunyai kadar faedah sebanyak 5% setahun sebagai kajian;

Andai kata anda mempunyai wang tambahan sebanyak RM50,000 untuk dilaburkan. Dengan membeli ASB sebanyak 50,000:RM1.00 sebagai pemegang saham amanah.

Ilustrasi Pertama:-
RM50,000 X 5% (faedah simpanan)= RM52,500
RM 2500 dividen/ bonus setahun

Ini bermakna anda akan memperolehi keuntungan sebanyak RM2500 setiap tahun dengan kadar faedah keuntungan sebanyak 5 peratus setahun.

———————————————————————————————————————

Ilustrasi kedua:

Pelaburan melalui hartanah didalam tempoh 12 bulan; mengikut kenaikan hartanah semasa didalam 5% pada nilai hartanah 500,000
RM50,000 = 10% deposit hartanah RM500,000
RM500,000 X 5% = RM525,000
RM25,000 Untung Kasar setahun

Nota: Ilustrasi diatas tidak termasuk kos guaman dan cukai kerajaan

Tujuan saya membuat perbandingan ini untuk mengetahui jika setiap tahun saya boleh memperolehi kadar purata 5% bagi akaun ASB, mengapa saya harus melabur didalam hartanah jika keuntungannya sama atau kurang. Tetapi jika kiraan saya pada potfolio hartanah dengan lokasi ini lebih menguntungkan, saya akan mula melabur pada hartanah itu.

Teknik asas pemilihan hartanah untuk tujuan pelaburan adalah satu perkara yang perlu dikenal pasti. Sering kali pelabur hartanah tersalah membuat pilihan diantara pegangan hartanah yang berpotensi atau tidak. Dengan artikel ringkas ini, pelabur semua bakal memahami faktor-faktor utama pemilihan hartanah mengikut potensi akan datang bukan mengikut nilai belian sekarang.

Kadar Faedah Pinjaman Tetap Atau Terapung Lebih Baik utk hartanah

Pasti anda biasa mendengar istilah iHome Loan, Flexi Home, Fixed Rate, Floating Rate, BLR (Basic lending rate) , BFR (Basic finance rate), Locking period dan macam-macam lagi. Dari kesemua istilah diatas ia semua bakal bergantung pada keperluan anda tentang kadar faedah tetap atau terapung, mana yang lebih sesuai.

Memilih kadar faedah pinjaman tetap atau terapung adalah satu perkara yang subjektif mengikut keperluan masing-masing. Adakah anda tahu elemen asas yang penting untuk memilih pakej pinjaman mana yang terbaik untuk anda. Kita kategorikan tujuan asal pembelian rumah pada tiga golongan pembeli, pertama mereka yang ingin menduduki hartanah tersebut, kedua mereka yang membuat pembelian untuk tujuan pelaburan singkat dan ketiga dan terakhir mereka membeli untuk pelaburan jangka panjang.

1. Mereka yang ingin menduduki hartanah tersebut
Pada mereka yang ingin menduduki hartanah yang dibeli, pembelian dengan mengunakan kadar faedah tetap adalah satu cara terbaik untuk mereka. Ini kerana dengan kadar faedah tetap ia membantu pembeli untuk memperuntukkan wang pendapatan dengan lebih tepat dan konsisten. Selain itu kadar tetap memudahkan bajet bulanan pembeli dan tidak terikat pada tekanan pasaran yang sentiasa berubah-ubah. Mengikut carta sejarah BLR negara, kadar BLR ini akan berubah setiap tahun sekurang-kurangnya sekali. Tetapi pernahkah anda terfikir, kenapa Pinjaman Perumahan untuk kakitangan kerajaan pada kadar faedah tetap 4%?

Apa yang anda perlu tahu…
Kadar pinjaman tetap dari Pinjaman Perumahan Kakitangan Kerajaan memudahkan mereka membuat pembayaran balik ansuran bulanan pada kos yang tetap setiap bulan. Ia membolehkan si peminjam tadi untuk memperuntukkan pendapatan secara sistematik. Perbelanjaan isi rumah dan keperluan lain tidak akan terganggu dengan kos-kos luar jangka dan segalanya boleh dibuat mengikut bajet yang lebih terancang. Dengan pemilihan kadar faedah tetap pada pembelian hartanah adalah satu cara terbaik untuk pinjaman yang stabil dan lebih selamat.

2. Mereka yang membuat pembelian untuk tujuan pelaburan singkat
Pinjaman perumahan pada mereka yang ingin membuat pelaburan pada jangka masa singkat adalah mereka yang membuat pinjaman pada tempoh tiga hingga lima tahun. Pada tempoh ini, pinjaman dengan kadar faedah terapung adalah yang terbaik untuk mereka. Ini kerana pada tempoh tersebut pembeli hartanah akan memiliki hartanah tersebut pada tempoh tertentu dan menjualnya pada waktu matang. Lebih sedikit wang sendiri yang dikeluarkan lebih menguntungkan. Selain itu jika ditolak tambah kadar faedah terapung lebih menjimatkan untuk pelabur hartanah jangka singkat.

Apa yang anda perlu tahu…
Seperti biasa, pinjaman hartanah dengan kadar faedah terapung walaupun berada ditahap yang berubah-ubah secara umunya ia lebih jimat pada tahap ekonomi yang terkawal. Jika tekanan ekonomi semakin mendesak pinjaman ini mungkin tidak akan membantu malah ia mungkin membebankan peminjam.

3. Mereka membeli untuk pelaburan jangka panjang
Pada mereka yang bergelar “Strategis” amat sesuai dengan kadar faedah pinjaman tetap. Mereka yang membeli untuk pelaburan jangka masa panjang memerlukan kuasa pegangan. Kuasa pegangan mereka harus sentiasa konsisten seperti contoh; pelabur hartanah sewa juga sesuai dengan kadar ini, kerana kadar sewaan akan berubah mengikut pasaran semasa, tetapi dengan kadar tetap anda dapat memaksima dan menjangkakan keuntungan. Lain pula jika mengikut kadar terapung, jika pada waktu itu kadar sewaan meningkat, kadar faedah anda juga akan meningkat. Jadi jika anda ingin membuat pelaburan untuk hartanah sewa… lebih baik dengan kadar tetap.

Kadar tetap juga sesuai untuk mereka yang membeli dengan tujuan menghadiahkan hartanah itu pada ahli keluarga seperti ibu bapa atau anak-anak. kebanyakkan mereka yang membuat pinjaman dengan kadar faedah tetap telah mengambil kira wang mereka pada hari ini dan wang masa hadapan. Sebagai seorang yang membuat persediaan awal, kebiasaanya individu ini dapat memperuntukkan wang tabungan yang konsisten.

Apa yang anda perlu tahu…
Pinjaman dengan kadar tetap kebiasaanya disalah ertikan jika kita melihatnya pada hari ini. Setiap tahun nilai mata wang kita akan semakin mengecil, terdapat banyak faktor luaran yang mampu membawa tekanan pada ekonomi negara hari ini. Skim pembayaran balik dengan kadar faedah tetap amat sesuai untuk mereka yang bekerja sendiri atau peniaga kesil-kecilan kerana ia lebih selamat dan kurang berisiko.

Oleh itu sebaik-baiknya anda mengetahui tujuan sebenar anda memiliki hartanah. Jika untuk tinggal disana, kadar faedah tetap amat sesuai digunakan. Buat pilihan yang tepat untuk diri anda dan keluarga.

Terdapat beberapa pakej menarik untuk pinjaman dengan kadar tetap (fixed rate loan) di pasaran kita hari ini. Malangnya setiap kali mencari pinjaman dengan kadar tetap dari pihak bank kadar faedahnya terlalu tinggi dan ia tidak relevan dengan keadaan semasa ekonomi negara.

Mengapa anda perlu satu rumah lelong ?

Pembelian hartanah lelong mungkin ada baik dan buruknya. Pada sesetengah orang hartanah lelong adalah satu urusan pembelian yang menguntungkan. Bukan saja bakal memiliki hartanah pada harga bawah pasaran, hartanah lelong juga adalah satu alternatif lain pada individu yang memiliki bajet rendah untuk memiliki rumah.

Didalam musim lelong ini, Drumah ingin berkongsi beberapa maklumat yang dirasakan bakal membantu pembida-pembida hartanah lelong yang berminat, setidak-tidaknya ia bakal memberikan panduan walaupun mungkin ramai yang telah mengetahuinya.

1. Buat penilaian bajet mendalam
Pembidaan hartanah lelong bukan sahaja melibatkan lokasi yang strategik, ia juga menuntut beberapa kos tertentu yang perlu dikenal pasti semasa proses pembidaan harta. Jika anda berminat dengan hartanah lelong, penilaian bajet perlu dilakukan dengan berhati-hati, jangan bergantung sangat pada harga risab yang rendah semata-mata. kebiasaanya hartanah lelong akan meningkat dari 10% sehigga 15% dari harga bukaan. Jika persaingan sengit… risiko terbida harga melampau tinggi mudah terjadi jika pembida tiada panduan yang betul. Jadi semak nilai hartanah atau dapatkan bantuan profesional untuk membantu.

Penilaian bajet lelong tidak terhenti setakat mengetahui nilai pasaran dan harga bidaan luar jangka. Persoalan utama adakah pembida mampu menampung kos pemulihan dan penyelengaraan selepas ini? Adakah anda punyai krew untuk membantu? Jika bercadang untuk disewakan… adakah anda mampu untuk menampung bayaran bulanan pinjaman sebelum berjumpa dengan penyewa yang sesuai? Jadi tanya diri anda sebelum membuat komitmen dan elakkan risiko lain yang bakal timbul.

Rata-rata hartanah lelong mempunyai tempoh 90 hari sehingga 120 hari untuk diselesaikan. Tempoh ini amat singkat dan mungkin lebih baik jika pembida mengambil khidmat perunding hartanah agar ia lebih mudah dan tidak memeningkan kepala.

2. Lihat hartanah anda
“Dari mata turun ke hati” itulah pepatah yang tepat apabila anda membeli hartanah. Sebaik-baiknya pembida sendiri harus melawat sendiri hartanah yang hendak dilelong. Tetapi jika anda seorang pelabur dari Sabah dan ingin membida hartanah di Johor… lebih mudah anda melantik wakil yang memahami kondisi pasaran disana untuk menilai secara peribadi. Tidak seperti hartanah jualan biasa yang pembeli punyai akses untuk meneliti hartanah dengan lebih terperinci. Melawat hartanah lelong, pembeli mungkin hanya dapat melihatnya dari luar.

Satu tip yang boleh membantu; Jika hartanah lelong itu kosong, anda boleh cuba menegur jiran disebelah dan memperkenalkan diri anda. Katakan pada beliau yang anda berminat untuk membida hartanah disebelah, dan berharap beliau dapat membantu. Bertanyalah dengan rasa hormat pasti beliau akan membantu anda. Pamerkan sikap ramah anda yang mantap, mungkin anda berpeluang untuk membuat “lawatan” kedalam rumahnya. Jika tidak berpeluang, gunakan imaginasi anda untuk menilainya dari luar.

3. Semak peti surat
Jika anda bertandang ke rumah lelong, jangan lupa untuk melihat peti pos alamat sasaran. Jika anda bertuah, mungkin anda akan berjumpa dengan bil-bil telefon, elektrik, air, yuran penyelenggaraan (maintanance fee), cukai pintu dan cukai tanah. Tetapi jika anda tidak dapat mana-mana maklumat diatas, anda terpaksa lah pergi ke pejabat pengurusan dan semak bil-bil tersebut. Jika kos tersebut terlalu tinggi bagi anda, mungkin anda boleh mencuba pada hartanah lain pula.

4. Lihat jiran dan potensinya
Lihat tarikan suasana dan jiran tetangga adalah satu cara yang wajib dilakukan jika anda bercadang untuk tinggal disana. Jika anda membida untuk menyewakannya, cuba cari potensi kadar sewa di sekeliling. Harga sewaan pada setiap lokasi amat berbeza dan bergantung pada permintaan. Cara paling mudah adalah dengan meneliti papan tanda disekeliling rumah, lihat kalau-kalau ada rumah yang didalam keadaan luas dan kondisi yang sama untuk disewa dan berapa kadarnya? Selain itu, internet juga mungkin boleh dijadikan satu tanda perbandingan untuk kadar sewaan.

5. Jangan fikir keuntungan segera
Pembelian hartanah lelong sudah pasti membantu anda untuk membuat keuntungan. Tetapi jangan terlalu taksub dengan keuntungan segera. Tiada satu pun peluang pelaburan yang menjanjikan pulangan segera yang berlipat kali ganda. Jika anda berminat dengan hartanah lelong, jangan takut untuk mencuba pengalaman baru ini, dan jika kurang yakin… dapatkan khidmat perunding hartanah untuk membantu anda.

Sebenarnya, pembelian hartanah lelong memang menarik untuk diterokai oleh pelabur. Jika boleh bekerjasamalah dengan agensi hartanah agar pembidaan anda berjalan dengan lancar, apa yang penting pelaburan anda terjamin dengan pembelian hartanah yang tepat.

10 cara kreatif mencari wang muka rumah baru ( deposit )

Mendapatkan wang deposit pendahuluan adalah satu perkara yang paling sukar untuk memiliki rumah baru. Terutamanya jika ianya dalah rumah pertama anda. Seperti yang anda tahu, kebanyakkan bank hanya akan membiayai kos kediaman anda sebanyak 90% sahaja.

Jadi baki 10% kebiasaan akan dibayar oleh pembeli sebagai tanda komitmen dan penunjuk kemampuan. Bagaimana jika anda mampu dan layak tetapi deposit itu tidak dapat disediakan? Baiklah… ada beberapa cara yang dapat dilakukan. Ikuti saranan dan tip paling kreatif untuk mendapatkan duit muka atau deposit awal hartanah anda.

1. Minta tolong. Kebiasaanya anda boleh meminta tolong pada saudara terdekat seperti ibu bapa atau rakan yang prihatin dan berbangga dengan keputusan anda. Sebagai balasan anda boleh memulangkan wang yang dipinjam itu dengan sedikit lebihan sebagai tanda penghargaan. Ibu bapa kebiasaanya memang menggalakkan anak-anak mereka memiliki hartanah. Jika diikutkan meminta ibu bapa untuk membeli hartanah adalah satu perkara yang lebih mudah berbanding meminta mereka membiayaai perkahwinan anda. Betul kan? Tak percaya anda cuba…

2. Gunakan aset anda yang lain – sebagai contoh menjual aksesori kereta yang tidak digunakan atau koleksi-koleksi terhad untuk mendapatkan wang. Banyak cara anda boleh menjual secara offline pada kawan-kawan atau kumpulan. Hendak lebih mudah banyak laman-laman portal pengiklanan yang anda boleh gunakan untuk menjual barang terpakai secara online seperti ebay.com.my, lelong.com.my, mudah.my, mysimplifieds.com atau timestreets.com kesemua laman-laman web itu adalah portal pengiklanan percuma di Malaysia dan ramai yang telah mendapat manfaat dari portal-portal seperti ini. Jual apa sahaja dari barang moden hingga koleksi-koleksi antik asalkan anda tidak memandai-mandai menjual kesemua pasu-pasu bunga kesayangan nenek anda… Kesian lah kat dia kawan…

3. Ambil insuran yang memberi anda pulangan berganda mengikut tempoh tertentu. Selain dari melindungi dan melabur setiap 2-3 tahun sekali anda akan mendapat bonus mengikut caruman anda setiap bulan. Jika dirasakan perlu … anda juga boleh menyerahkan segala nilai insuran itu untuk mendapatkan tunai dan sekaligus dapat membiayai deposit hartanah anda. Jangan pula anda dengan sengaja mematahkan kaki anda dan klim insuran untuk tujuan ini. Cara itu amat bahaya…

4. Jika anda pembeli hartanah buat kali pertama, anda boleh mengeluarkan wang simpanan pekerja untuk membiayai 10% dari deposit rumah baru. Semak akaun 2, dan carilah mana-mana hartanah yang bersesuaian dengan nilai akaun itu.

5. Menabung dengan ASB adalah satu cara mudah bagi mendapatkan wang muka. Jika anda mensasarkan hartanah yang berharga RM500,000 anda hanya perlu meletakkan deposit RM1000 sebulan secara konsisten. Mengikut unjuran kalkulator saya ini, jika anda mula menyimpan pada awal tahun 2010… pada akhir 2013 anda akan mempunyai RM52,226.59 sebagai wang deposit 10% setelah empat tahun menyimpan. Jadi apa tunggu lagi? mula lah menabung dengan ASB.

Bagaimana menilai pelaburan hartanah yang berbaloi

Membeli hartanah pelaburan merupakan satu cara terbaik meningkatkan nilai kekayaan masa hadapan melalui pendapatan sewa. Bagaimana anda tahu di mana pelaburan hartanah terbaik berbanding hartanah yang lain? Ada beberapa kaedah pengiraan mudah yang dapat mengetahui prospek hartanah pilihan dan didibawah saya sertakan huraian cara mudah menghitung Kadar Peningkatan Modal yang mewakili nilai pulangan tunai sesuatu hartanah itu.

1. Jom kita mulakan dengan langkah pertama. Langkah pertama adalah dengan mengenal pasti nilai hartanah semasa kawasan yang disasarkan. Nilai hartanah ini boleh juga diambil dari nilai pasaran atau nilai jualan yang diketahui. Jika anda mempunyai wang lebih anda juga boleh mendapatkan laporan-laporan terkini nilai hartanah semasa di pejabat-pejabat penilai hartanah tempatan untuk maklumat yang tepat.

2. Seterusnya kita harus mengetahui berapakah kos-kos bersih untuk mengekalkan hartanah. Sebagai contoh jika anda mensasarkan hartanah seperti apartment atau kondominium, hartanah jenis ini mempunyai kadar penyenggaraan yang berbeza pada setiap lokasi. Diantara kos-kos lain adalah cukai tanah, cukai pintu, yuran pengurusan, kos pengubahsuaian dan insuran. Jangan masukkan bayaran ansuran sebagai sebahagian daripada kos, kerana Kadar Modal Hartanah digunakan untuk membandingkan satu sama lain seolah-olah hartanah ini dibeli dengan wang tunai. Dengan cara ini ia memberi perbandingan yang lebih tepat.

3. Untuk menghitung Kadar Modal, anda perlu membahagikan Pendapatan Bersih Tahunan dari harga beli atau harga pasaran hartanah. Kadar Modal = Pendapatan Bersih Tahunan/ Harga Belian. Sebagai contoh, jika Pendapatan bersih Tahunan hartanah tertentu adalah RM 12, 500 setahun (Pendapatan sewa selepas ditolak kos untuk memelihara harta), dan harga pembelian hartanah adalah RM 150,000, Kadar Peningkatan Modal anda menjadi 8.3%.

4. Secara umumnya Tarif Peningkatan Modal pelaburan hartanah terbaik diantara 5% – 8.5% sahaja. Tetapi kebanyakan pelabur hartanah bersepakat dan bersetuju yang mana kadar peningkatan berhampiran dengan 8% sudah cukup memadai, namun kitaran kadar ini amat bergantung pada lokasi dan itu lah yang membezakan hartanah A dan hartanah B. Kadar Peningkatan Modal untuk sesuatu hartanah perlu dibandingkan untuk memahami dimana harta yang paling berharga bagi seorang pelabur dengan bajet yang ada.

5. Pulangan dari aliran tunai boleh dikira menggunakan Kadar Peningkatan Tahunan (KPT), tetapi kali ini bayaran hutang (seperti bayaran ansuran) harus ditolak daripada pendapatan tahunan untuk menghitung KPT bersih. Pulangan aliran tunai kemudian boleh dikira dengan membahagikan KPT pada jumlah wang muka semasa pembelian rumah serta kos pembaikan yang dikeluarkan dengan tujuan mendapatkan penyewa.

6. Sebagai contoh, jika anda meletakkan wang muka RM 25,000 untuk membeli rumah pelaburan dan membayar RM 5,000 dalam pembaikan rumah siap untuk di sewa, yang KPT tadi akan dibahagi pada RM 30,000. Simulasinya kiraannya seperti, jika Tahunan KPT hartanah adalah RM 3.000, maka Pulangan aliran tunai RM 3,000 dibagi dengan RM 30,000, atau 10%. Ini bermakna pelaburan hartanah tadi membawa pelabur pendapatan pasif 10% pada wang yang dilaburkannya.

7. Walau bagaimanapun kiraan diats hanyalah anggaran keuntungan yang akan diperolehi pelabur “jika” pelabur itu benar-benar memahami akan nilai hartanah itu. Apa pun, contoh pengiraan Kadar Peningkatan Modal tahunan dan Pulangan Aliran Tunai adalah satu praktis biasa yang digunakan oleh pelabur hartanah untuk membandingkan sesuatu hartanah pelaburan dengan yang lain.

Betul ke hartanah Bidang terhebat?jom

Ada banyak kebaikan dalam menjadikan bidang hartanah sebagai pilihan pelaburan. Sebagai pelabur… matlamat utama kita disini adalah untuk mendapatkan wang lebih, bukan? Saban tahun sektor hartanah banyak menarik pelabur-pelabur dari pelbagai latar belakang. Tidak kiralah anda seorang doktor, jurutera, guru, malah pelajar juga boleh melakukannya. Jadi… Inilah masa terbaik untuk menceburi perniagaan bernilai bilion ringgit itu.

Walau sehebat mana pun perniagaan ini, Perniagaan ini bagaimanapun bukan untuk semua orang. Anda harus menjadi seorang yang bermotivasi tinggi untuk teruja belajar mengenai industri ini. Satu dari pelajaran terbaik ialah berkenaan pengecualian cukai yang boleh anda lakukan. Ya, betul! Apabila anda melabur dalam bidang hartanah, anda boleh dikecualikan dari faedah yang anda perlu bayar kepada pinjaman kewangan termasuklah bayaran kos senggaraan. Ini bermakna anda boleh melapurkan liabiliti-liabiliti ini sebagai aset dan membina ekuiti sementara nilai hartanah anda terus meningkat.

Ada banyak orang yang mahukan pengecualian ini tetapi sayangnya anda tidak layak jika anda tidak melabur dalam bidang hartanah.Ada banyak maklumat yang boleh anda pelajari dari internet. Terdapat juga kursus pelaburan yang anda boleh ambil. Sebaik menamatkan kursus sedemikian anda sudah mempunyai pengetahuan yang lengkap untuk menjalankan tugas anda. Lapuran cukai memang melecehkan. Anda mungkin mahu menggunakan perisian pelaburan hartanah yang boleh membantu anda mendapatkan lapuran terperinci mengenai hartanah anda.

Pelaburan memang perniagaan berisiko. Melabur dalam pasaran saham kerap berdepan dengan keadaan yang tidak menentu tetapi hartanah boleh diinsuranskan terhadap apa-apa sahaja peristiwa tidak menentu yang diluar kawalan anda. Ini adalah cara untuk melindungi ekuiti anda. Perisian pelaburan hartanah boleh membantu anda dalam situasi kewangan yang tidak stabil. Ia boleh memberi anda jangkaan tepat mengenai kelemahan hartanah anda jika pendapatan sewa berkurangan atau jika hartanah anda kosong untuk jangka masa yang lama.

Perkara yang paling menarik mengenai pelaburan dalam sektor ini adalah potensi pendapatan. Anda mempunyai kawalan penuh kepada pelaburan anda. Anda boleh menaikkan nilainya dengan menambah baik hartanah atau memasang kelengkapan baru. Jika anda serius dalam sektor ini, anda boleh mengikuti pelbagai blog pelaburan hartanah yang kaya dengan pelbagai panduan. Anda boleh menggunakannya untuk mengetahui pulangan di sesuatu lokasi dan harga pasaran. Selagi anda mengetahui semuanya yang anda perlu mengenai hartanah anda dan mempunyai alat kelengkapan untuk berjaya, anda boleh sama-sama meraih pulangan lumayan dalam perniagaan yang menguntungkan ini!