Wednesday, December 8, 2010

Tips beli rumah apartment dan kondominium

Apakah kriteria utama untuk pembelian kondo atau apartmen yang baik?

Pembelian apartment dan kondominium adalah satu perkara biasa dan kini ia sebagai tren dan gaya hidup terbaru, Jika anda memerlukan privasi dan “guarded house” untuk kediaman… apartment dan kodominium adalah hartanah terbaik pada anda.
Sebelum anda membeli rumah apartment atau kondominium, kenali dahulu beberapa “check list” ini sebelum membeli.
1. Beli hartanah yang mempuyai minima 2 bilik mandi
2. Beli unit yang terletak jauh dari tempat sampah, lif dan tangga
3. Ruang letak kereta mencukupi
4. Ketinggian siling
5. Beli apartmen yang punyai 3 bilik atau lebih (utk. tujuan pelaburan)
6. Beli unit paling rendah jika boleh.
Membeli hartanah bukanlah sesuatu yang dapat dilakukan secara kerap didalam kehidupan kita. Kebanyakkan rakyat Malaysia hanya membeli rumah sebanyak 2 kali sahaja seumur hidup. Beli buat pertama kali semasa muda dan setelah 10-20 tahun… mereka membeli rumah dikawasan yang dirasakan sesuai untuk persaraan.
Jadi mungkin apa yang anda beli hari ini akan dilupuskan untuk mendapatkan hartanah yang lebih baik hari esok. Belilah hartanah hari ini dengan pelaburan jangka panjang didalam minda.

Hartanah bisnes terbaik untuk usahawan muda

Jika anda berminat untuk memulakan pelaburan, industri hartanah mempunyai salah satu peluang pelaburan yang terbaik untuk usahawan baru. Jika anda mempunyai wang simpanan dan cita-cita untuk industri ini, mulakan dengan mendalami ilmu pendidikan hartanah kerana ia dapat menjamin kejayaan anda didalam perniagaan ini.
Satu tips menarik untuk hari ini; bagaimana memilih hartanah untuk dijadikan pelaburan untuk mereka yang baru didalam industri ini. Jika anda mendalami ilmu hartanah anda akan berjumpa dengan banyak tip-tip menarik dan semakin lama anda mencarinya semakin ia mengelirukan. Pernah kah anda terfikir, “mana satu tip yang saya harus ikut?” atau “sesetengah orang kata begini, ada pula yang kata jangan buat begini?” jadi mana satu yang betul?

Setiap penulis didalam industri hartanah mempunyai idea dan pengalaman masing-masing, jadi jangan terlalu gopoh. Jika anda berasa sedikit keliru akan terma dan idea seseorang yang berkongsi pengalaman mereka tentang hartanah, anda hanya perlu tenang dan cuba memahami pesanan yang ingin disampaikan penulis. Jika tidak dapat dibendung, inilah satu tahap penerimaan yang dipanggil “Information over load” yang memungkinkan anda tidak lagi mencari idea baru atau terus sahaja mematikan “mood” dan motivasi anda. Adakalanya lebih baik anda tidak mempunyai info yang terlalu banyak dan buat keputusan berdasarkan “rule of thumb” yang mana baik didahulu kan. Maklumat yang berlebihan adalah satu masalah yang semua orang hadapi. Tidak kiralah jika anda berada didalam industri hartanah atau mana-mana industri situasi ini adalah penyakit yang sukar untuk diubati melainkan anda telah melakukan, merasai dan mencipta peluang didalam industri ini.

Apa yang boleh saya katakan, bertenang dan proses maklumat itu dengan perbandingan. Baiklah, kembali pada topik perbincangan hari ini saya akan berkongsi sedikit tip bagaimana seorang “average man” atau orang yang berpendapatan biasa mampu melakukan pelaburan hartanah. Pelaburan hartanah bersikap “universal” malah setiap keputusan diatas pembelian hartanah akan membawa kesan langsung dan tidak langsung pada persekitaran anda.

Sebelum melakukan sebarang pelaburan, tanya diri anda dahulu, apakah yang anda cari sebenarnya? dan apakah matlamat anda sebenarnya? Selepas itu… baru lah anda merancang bagaimana anda ingin merealisasikan matlamat anda. Saya mencadangkan pada mereka yang ingin membuat pelaburan hartanah dapatkan hartanah untuk kegunaan sendiri. Jika anda sedang menyewa rasanya inilah masa terbaik untuk anda mencari sebuah hartanah. Dapatkan sebuah rumah untuk berteduh, dan yang paling penting anda selesa dan gembira tinggal disana.

Setelah itu baru lah anda mencongak-congak lebihan setiap bulan. Lakukan bajet yang terancang dan saya mencadangkan anda untuk mensasarkan pada pasaran penyewa berikut;
  • Untuk eksekutif baru
  • Untuk pasangan baru berkahwin
  • Untuk pegawai Syarikat
Untuk menarik eksekutif muda, pasangan baru berkahwin dan pegawai syarikat anda tidak perlu membelanjakan wang besar untuk membuat pelaburan. Ini kerana jika anda membeli rumah yang terlalu besar, bukan sahaja anda membelanjakan wang yang banyak malah ruang tersebut tidak dapat digunakan.
Cukup sahaja jika anda dapat mencari satu rumah kecil yang bersaiz 650 kaki persegi dan mempunyai 2 bilik dan 1 bilik air atau didalam bentuk studio yang kini menjadi trend terbaru dikalangan eksekuif muda. Mereka ini memerlukan privasi, sebenarnya rumah yang terlalu besar bukan sahaja merugikan malah amat sukar untuk mencari penyewa.

Monday, December 6, 2010

Duti setem apa yang anda harus tahu tentangnya

Apa itu duti setem? Mungkin ada diantara pembeli-pembeli baru yang keliru tentang duti setem. Secara mudah duti setem adalah satu taksiran cukai atau pungutan duti setem yang tertakluk pada akta setem 1949.
Akta Setem 1949 memperuntukkan pengenaan duti atau cukai mengikut nilai hartanah dari setiap transaksi hartanah anda. pembayaran cukai atau levi ini adalah wajib pada setiap transaksi hartanah melainkan adanya pengecualian tertentu dari pihak kerajaan. Ini termasuklah transaksi penukaran nama dari aktiviti jualan atau hadiah, di mana walau apa jenis transaksi yang dilakukan pemilik asal pada pemilik baru… duti setem tetap akan dikenakan pada transaksi itu.
Di dalam kes pembelian mana-mana urus niaga, kontrak jualan dan belian anda sebagai pemilik baru akan dikenakan duti mengikut nilai harga yang berkaitan. Sebagai contoh apabila anda membeli hartanah bernilai RM700,000, anda dikehendaki membayar duti setem mengikut carta dibawah;
  • RM100,000 yang pertama: 1% dari RM100,000 pertama atau RM1.00 bagi setiap RM100 atau sebahagian daripada RM100.
  • RM100,00 keatas tetapi tidak melebihi RM500,000: 2% dari 100,000 hingga ke RM500,000 atau RM2.00 bagi setiap RM100 atau sebahagian daripada RM100.
  • Melebihi RM500,000: 3% pada RM500,000 seterusnya atau RM3.00 bagi setiap RM100 atau sebahagian daripada RM100.
Jika di simulasikan pembayaran duti pada hartanah yang berharga RM700,000 adalah;

Harga Rumah
RM100,000 pertama – 1% x RM100,000 = RM1,000 duti Setem yang dibayar (baki harga rumah – RM600,000)
RM400,000 seterusnya – 2% x RM400,000 = RM8,000 duti setem yang dibayar (baki harga rumah – RM200,000)
RM200,000 seterusnya – 3% x RM200,000 = RM6,000 duti setem yang dibayar (Jumlah harga rumah RM700,00)

Ini bermakna jumlah bayaran duti setem pada rumah ini adalah RM15,000 sahaja

Selain dari pengiraan manual, anda juga boleh menggunakan kalkulator pengiraan duti setem disini PENGIRAAN DUTI SETEM BAGI PINDAH MILIK HARTA TANAH yang terdapat di laman web Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dan juga boleh diakses melalui www.jpph.gov.my.

Sebagai pengguna anda harus tahu apakah hak anda dan bagaimana duti setem ini dikira. Supaya anda tidak tertipu atau menjadi mangsa penipuan pada pihak-pihak tertentu yang ingin mengambil kesempatan diatas ketidak pastian anda.
semoga info ini dapat membantu…

Mengapa guna hartanah untuk menjadi kaya?

Secara purata nilai hartanah sentisa meningkat sejak akhir-akhir ini dari 5% sehingga 8% setahun mengikut jpph (Jabatan Penilaian Perkhidmatan Harta). Ini bermakna apabila anda membeli hartanah pada hari ini, nilainya pada tujuh atau dua belas tahun akan datang bakal menjadi 2x ganda dari apa yang anda laburkan. Tetapi, adakah anda tahu, bukan semua tren harga hartanah di bandar berkeadaan naik, mari kita fahami hal ini dan memahami mengapa ia boleh berlaku.

Mengapa harga hartanah akan meningkat dalam jangka masa panjang?
  • Ini berlaku diatas perubahan demografi dan hubungan sosial masyarakat seperti; lebih ramai manusia hidup bersendirian, peningkatan kadar perceraian dan lebih ramai warga senior yang hidup panjang.
  • Dengan perkembangan berterusan kemasukan sejumlah pendatang asing masuk ke Malaysia mengandakan lagi permintaan kediaman dan Malaysia memerlukan lebih banyak rumah untuk didiami.
  • Lebih ramai yang menaik taraf kediaman sedia ada kepada permis yang lebih besar tanpa melupuskan hartanah lama. Mereka lebih selesa untuk mencari penyewa dan meninggalkan aset bernilai untuk keluarga dan anak-anak.
  • Bank yang menawarkan pinjaman meningkatkan jumlah pinjaman pembeli dengan cara memanjangkan masa untuk menjelaskan pinjaman, Ini bermakna lebih ramai yang boleh memiliki rumah walaupun dengan harga yang semakin meningkat setiap tahun. Situasi ini meningkatkan keyakinan dalam pasaran dan menggalakkan lebih banyak pemaju membina dan mengambil risiko yang lebih, kerana semua orang mampu membeli dan juga faktor permintaan yang tinggi.
Mengapa harga hartanah jatuh untuk jangka masa pendek?
Pada waktu tertentu harga hartanah akan jatuh walaupun kawasan tersebut mengalami kekurangan unit untuk dijual. Jadi mari kita fahami mengapa ia berlaku.
  • Nilai hartanah akan susut nilai apabila kadar faedah meningkat pada tahap tertentu, kesannya pembeli bakal menangguhkan pembelian sehinggalah kadar faedah berada pada tahap kemampuan. Ini bermakna akan kuranglah nombor jualan dan berkemungkinan besar ada penjual yang terpaksa mengurangkan harga jualan mengikut tawaran pasaran.
  • Peningkatan harga perkhidmatan utiliti bakal mempengaruhi harga rumah kerana pembeli mula mengetatkan bajet dan menangguhkan pembelian untuk tempoh masa yang lain.
  • Apabila pemilik kilang dikawasan industri berdekatan berhenti beroperasi dan berpindah ke kawasan lain untuk mengurangkan kos, pasaran hartanah disekitar juga mengalami tempias ekonomi kerana sebahagian dari pekerja pengurusan dan operasi yang tinggal berdekatan juga akan berpindah ke kawasan perumahan yang baru.
  • Kurangnya generasi baru yang berjuang untuk tinggal di daerah tertentu atau tekanan yang memaksa orang tertentu untuk menjual dan berpindah. Jika ini tidak ditangani oleh kerajaan, maka akan timbul gelombang  lambakan hartanah di pasaran sekaligus membuatkan nilai hartanah susut untuk seketika.
  • Mengikut kitaran ekonomi hartanah, setiap 7-12 tahun akan ada kejatuhan kecil pada jangka masa singkat pada harga rumah disebabkan oleh beberapa faktor ekonomi seperti kemelesetan, pengetatan kredit, bencana alam, jenayah dan lain-lain lagi.
Pada hari ini kita telah nampak sedikit tanda-tanda pengurangan ini, pada mereka yang sedang mencari diharap bakal memperolehi hartanah yang sesuai dengan bajet yang berpatutan dipasaran. Nilai hartanah di Malaysia bakal berlaku sedikit pelarasan harga didalam tempoh terdekat. Jika ia berlaku sektor hartanah akan mengalami pengurangan permintaan pada pasaran buat tempoh tertentu. Ia juga adalah satu fasa halangan untuk mengelak harga pasaran dari melonjak terlalu tinggi dan membebankan ramai pengguna yang benar-benar memerlukan.
Sekian, Semoga berjaya pelabur semua

Alternatif Bayaran Pendahuluan Rumah Bhg-2

Pinjaman Peribadi (Personal Loan)
Walaupun kebanyakan pakej-pakej pinjaman persendirian mengenakan kadar faedah yang tinggi, iaitu lebih daripada 8% setahun, tetapi bagi mendapatkan wang dalam masa yang singkat, alternatif ini masih boleh diterima pakai.
Cuma perlu diingatkan sebelum membuat sebarang pinjaman peribadi, pendapatan dan tanggungan kita perlu disemak sama ada kita mampu atau tidak. Selain itu, pakej-pakej yang ditawarkan oleh bank-bank mestilah dikaji dengan teliti untuk memberi fleksibiliti kepada kita. Antara bank-bank yang menawarkan pakej yang agak menarik ialah Bank Rakyat dan Bank Islam.
Kedua-dua bank ini menawarkan pinjaman peribadi pada kadar faedah kurang dari 6% setahun tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan. Berikut adalah contoh pakej pinjaman peribadi yang ditawarkan oleh Bank Rakyat kepada kakitangan kerajaan dan ahli yang mempunyai syer Bank Rakyat:
Jumlah maksimum pinjaman : RM200,000
Jangka masa maksimum pinjaman: 20 tahun
Tahun 1 – 3         : 3.25%
Tahun  4 – 5        : 4.25%
Tahun  6 – 7        : 4.75%
Tahun  8 – 15     : 4.85%
Tahun  16 – 20    : 5.20%
Tetapi perlu diingatkan bahawa alternative ini amat sesuai dijadikan pilihan terakhir kerana kadar faedah untuk pinjaman peribadi agak tinggi.

Naikkan (Mark-up) Jumlah Pinjaman Perumahan
Kaedah ini boleh diguna pakai bagi membeli rumah siap (sub-sales property) dan rumah terbabit perlulah mempunyai harga pasaran (market value) yang tinggi.
Bagi mendapatkan 10% bayaran pendahuluan, bakal pembeli perlu berbincang dengan penjual rumah terbabit berkenaan pelan ini dan jika kedua-dua pihak bersetuju, harga rumah ‘dinaikkan’ sedikit di dalam S&P tetapi harga ini bergantung kepada harga nilai sebenar diperoleh daripada penilai (valuer) bertauliah. Sebagai contoh, jika sebuah rumah teres yang mempunyai nilai pasaran sekitar RM120,000 ingin dijual oleh pemiliknya secepat mungkin pada harga RM100,000, bakal pembeli mungkin boleh mark-up harga rumah itu semasa membuat pinjaman perumahan.
Ini bermakna, bank akan memberikan 90% pinjaman perumahan iaitu RM108,000. Dengan kaedah ini, bayaran pendahuluan seolah-olah telah dibayar oleh pihak bank terlebih dahulu. Walaubagaimanapun, kaedah ini tertakluk kepada budi bicara di antara penjual dan pembeli.
Bagi kawasan perumahan yang baru dilancarkan oleh pemaju, biasanya, tawaran istimewa termasuklah diskaun akan diberikan kepada pembeli terawal (early bird). Sebagai contoh, diskaun sebanyak 7% diberikan kepada bumiputera dan 3% lagi mungkin merupakan diskaun istimewa kepada pembeli terawal. Walaupun tidak banyak,sekurang-kurangnya, diskaun ini akan mengurangkan beban pembeli untuk membayar wang pendahuluan.
Oleh yang demikian, anda dinasihatkan untuk mengkaji dengan teliti pakej-pakej yang ditawarkan oleh pemaju kerana mungkin ada manfaatnya kepada kita.

Skim Istimewa dari Kerajaan
Seperti yang telah dibentangkan oleh kerajaan semasa Bajet 2011, satu skim khas telah disediakan oleh kerajaan untuk memberi kemudahan kepada pembeli memiliki rumah pertama. Skim ini akan membolehkan pembeli mendapat pinjaman 100% (tanpa bayaran pendahuluan 10%) bagi harga rumah kurang daripada RM 220,000. Melalui skim ini, beban bakal pembeli untuk menyediakan sejumlah wang pendahuluan dapat diringankan. Maklumat lanjut tentang skim yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional ini boleh diperolehi melalui cawangan-cawangan bank berkenaan.
Sebagai kesimpulannya, pelbagai alternatif boleh dirujuk untuk membolehkan kita memiliki rumah idaman. Tetapi, kemampuan diri perlu diukur terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan.

Sunday, December 5, 2010

Bagaimana membuat pembelian hartanah terbaik

Pasaran hartanah di Malaysia  melalui tempoh proses peralilhan yang  sangat perlahan dan sikap berhati-hati di dalam pemilihan hartanah adalah sesuatu yang digalakkan.  Apakah waktu yang sesuai untuk membeli hartanah? Itulah persoalan dan delima pada  bakal-bakal pelabur sejak dari dulu lagi.
Pendek kata membeli hartanah bukan hanya “ambil, bayar dan bawa balik” seperti membeli pakaian di pasaraya. Perihal utama yang perlu diambil perhatian ialah khidmat ejen hartanah.
Sebagai pembeli anda mempunyai hak untuk memilih ejen hartanah yang bersesuaian . Ini kerana jika pembeli silap percaturan memilih ejen maka pembeli terdedah dengan risiko penipuan semasa pembelian asset tersebut. Sebagai contoh;  ada ejen-ejen tertentu mengambil wang pendahuluan pelanggan dan melarikan diri tanpa dikesan.
Menurut maklum balas dari sebuah badan kerajaan iaitu Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Hartanah  terdapat ratusan laporan dari orang ramai yang telah ditipu oleh ejen-ejen yang tidak bertauliah setiap tahun. Fungsi badan karajaan ini sebagai mengawal selia ejen-ejen hartanah di negara ini agar ia lebih professional didalam bidang tersebut.
Oleh itu, pelanggan sendiri harus bersedia dan perlu mengikis sikap acuh tak acuh dalam memilih khidmat perunding hartanah. Sekali lagi diingatkan, pemilihan ejen hartanah menjadi elemen penting di dalam proses urusan jual beli harta. Ia memudahkan jika dikendalikan oleh orang yang tepat.
Secara dasarnya, pelaburan hartanah merupakan suatu pelaburan jangka panjang dan melibatkan komitmen selama 20 tahun atau 30 tahun untuk pembiayaan bank. Sebagai pelabur anda harus cekap menghidu potensi pada hartanah yang hendak disewakan. Setelah memperolehi penyewa yang sesuai, secara tidak langsung penyewa tersebut telah membiayai ansuran bulanan peminjam dan pemilik tidak perlu mengeluarkan wang sendiri untuk membayar ansuran bank.
Apabila tempoh pembiayaan bank tamat tuan tanah tadi bakal memperolehi wang pencen yang lumayan pada hari persaraan kelak. Tidak dapat disangkal lagi, pembelian hartanah adalah satu instrument terbaik untuk mencipta kekayaan… inilah yang dikatakan “wang bekerja untuk anda bukan anda bekerja untuk wang”.
Sebagai contoh seseorang itu membeli sebuah rumah banglo berharga RM250,000.00 dan menjualkannya dalam lingkungan harga RM370,000.00,  setelah 15 tahun, secara kiraan kasar tuan tanah tadi bakal memperolehi keuntungan sebanyak RM120,000.00 sebagai pulangan risiko yang diambil pada pelaburan yang dilakukannya pada tempoh tersebut.

Dengan ini, Sebelum membuat sebarang percaturan memiliki hartanah, pembeli dinasihatkan untuk mempertimbangkan beberapa langkah dibawah:
1. Menaik taraf asset tersebut. Berapakah kos membaik pulih sesuatu bangunan tersebut? Perkara ini penting kerana membaik pulih atau menaik taraf asset melibatkan kos yang kasar dan jika tidak berhati-hati kemungkinan besar ia boleh melebihi kos pembelian asset. Jadi sebelum beli buat jangkaan kos baik-pulih.
2. Kedudukan ataupun lokasi asset. Adakah asset tersebut berada di bandar besar, pekan, kawasan kampong ataupun infrasturuktur berdekatan seperti perkhidmatan bas dan teksi bagi memudahkan urusan harian penghuni nanti.
3. Jenis hartanah juga perlu di ambil kira di dalam pemilihan tersebut. Sebagai contoh hartanah bertingkat seperti apartment, rumah teres ataupun rumah jenis banglo yang mana peratus peningkatan nilai hartanah tersebut amat berbeza walaupun berada dilokasi yang sama.
4. Pegangan, seperti pegangan bebas ataupun pegangan terhad. Dalam konteks ini, jelas menunjukkan pegangan bebas memperolehi pulangan yang lebih tinggi daripada pegangan terhad. Hartanah yang mempunyai geran pegangan bebas mendapat permintaan tinggi kerana ia mudah untuk diuruskan semasa proses jual beli dan urusan penama untuk tujuan wasiat sebagai harta pusaka suatu hari kelak. Jika anda membeli hartanah untuk tujuan sewaan, pegangan bebas atau tidak bukan halangan, tetapi selidiki dahulu potensi dan kadar sewa disana sebelum membuat komitmen.
Disini dapat kita pelajari bahawa pembelian hartanah bukan sesuatu perkara yang susah. Walaupun ia melibatkan kos-kos tertentu, dengan pemahaman dan persediaan yang cukup anda dapat mengelak dari membuat perhitungan yang salah dan memberi kesan psikologi sosial jangka panjang pada diri anda. Oleh itu bakal-bakal pembeli perlu bijak semasa membuat penilaian agar pemilikan hartanah menjadi mudah dan sempurna. Jika anda kurang pasti mintalah khidmat agen hartanah dan sila pastikan yang anda benar-benar serasi bersamanya agar keseluruhan proses jual beli hartanah nanti berjalan lancar. Sekian sahaja…
Semoga berjaya pelabur semua.

Thursday, December 2, 2010

Dewan Rakyat: Akta Pemajuan Perumahan Akan Dipinda Atasi Projek Terbengkalai

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan meminda Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 bagi menangani projek perumahan terbengkalai di negara ini.
Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata pihaknya sedang dalam proses mengkaji pindaan agar peruntukan khusus diwujudkan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap pemaju perumahan yang gagal menyiapkan projek perumahan.
“Sungguhpun begitu, KPKT buat masa kini ini tetap melakukan penguatkuasaan dengan peruntukan sedia ada di bawah akta itu dengan kaedah seperti penyiasatan dan pemeriksaan atas laporan pemantauan projek, kompaun dan pendakwaan, senarai hitam pemaju dan pengarah syarikat,” katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani) di persidangan Dewan Rakyat di sini, Khamis.
Chor berkata beberapa langkah dilakukan bagi menyelesaikan masalah perumahan terbengkalai termasuk melaksanakan pemantauan dan penyelarasan yang lebih rapi dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai.
Beliau berkata pasukan yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan tiga kumpulan kerja itu menumpukan kepada penetapan dasar kemajuan perumahan negara, pemantapan pemulihan projek dan penguatkuasaan undang-undang.
Mengena projek perumahan terbengkalai, katanya perundingan dengan pihak berkepentingan dalam pemajuan perumahan sentiasa diadakan seperti pemaju perumahan, pembiaya, Persatuan Pembeli-Pembeli Rumah (HBA) serta Persatuan Hartanah dan Pemaju Perumahan (REDHA).
Sementara itu, sebanyak 161 projek dengan jumlah 50,614 unit rumah yang diisytiharkan terbengkalai dilaporkan sehingga Selasa lepas.
“Daripada jumlah tersebut, terdapat 5,573 unit (11 peratus) merupakan rumah kos rendah dan 8,687 unit (17 peratus) rumah kos sederhana,” katanya.
Beliau berkata pihaknya sedang menangani masalah ini dan setakat ini sebanyak 51 projek itu dapat disiapkan, 58 dalam peringkat pemulihan dan bakinya masih lagi mencari kontraktor penyelamat.
– BERNAMA